Malaysia Dateline

Isu MB Kedah langgar SOP: Nini Siron pertegas nampak ‘pelanggan’, jurujual buat urusan

Perakam video Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akhirnya kembali tampil bersuara selepas beberapa hari mendiamkan diri.

Nini Siron memberitahu beliau memuatnaik gambar dan video lelaki mirip Sanusi bersama tiga lelaki di laman sosialnya kerana hanya mempertikai kesalahan SOP.

Tindakannya selepas terserempak dengan mereka berdekatan kedai serbaneka di Autocity Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) itu dilakukan sebagai teladan umum.

“Tolong letak tepi siapa mereka. Saya mempertikai kesalahan SOP. Itu sahaja.

“Saya nampak ‘pelanggan’ dan jurujual melakukan aktiviti dan urusan yang mana ia jelas tidak dibenarkan.

“Bagi yang kurang jelas, sila rujuk SOP untuk automotif dibawah ‘pusat pengedaran kereta’,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Nini yang merakam video di lokasi kejadian antara tujuh individu termasuk Sanusi yang direkodkan keterangan oleh polis setakat semalam.

Mengulas lanjut, Nini yang membuat laporan polis berhubung hal tersebut kira-kira jam 10 malam pada hari yang sama berkata, beliau tidak mengharapkan populariti atau simpati.

“Suami saya tak dibenar bekerja pun masa lockdown ni. Kami akur. Tak ada pendapatan pun kami akur.

“Jadi, kami nak cepat habis pandemik ni supaya boleh bekerja macam biasa. Bila ada yang tak betul depan mata ni, hati jadi sakit. Kalau macam ni bila nak habih?” soalnya lagi.

Menjawab tuduhan yang kononnya beliau memfitnah, Nini menempelak tiada seorang pun yang sanggup membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

“Akhirnya Menteri Besar sendiri mengaku walaupun hat ni kata lagu ni, hat tu kata lagu tu. Cerita saya konsisten sebab bukan saja saya nampak, suami pun nampak sekali,” tambah Nini lagi.