Malaysia Dateline

Isu MB Perlis: Peguam cadang bawa ke mahkamah

Hanipa..Adakah ini karma kes Perak.

Peguam yang juga ahli parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin mencadangkan krisis pembentukan kerajaan Perlis diselesaikan di mahkamah.

“Pengerusi BN, bagi saya, yang saya faham, lebih mahukan prinsip raja berperlembagaan dikekalkan.

“Y.M Raja Perlis pula, yang saya faham, mahukan seorang MB yang benar benar bebas (truly independent).

“Tafsiran mana yang lebih betu dan tepat? Jika saya boleh syorkan, saya cadangkan kes ini dibawa ke mahkamah,” kata Hanipa dalam satu kenyataannya.

Bagi beliau, “the proper remedy” (cara terbaik) adalah kena pohon perintah deklarasi dan perintah “writ of quo warranto” melalui semakan kehakiman macam kes Perak dulu.

“Adakah “karma” kes Perak dulu kini berulang?” soal beliau merujuk kepada tindakan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak selepas hanya 11 bulan pada 2008 lalu.

Menurut Hanipa, beliau mengikuti dengan penuh minat perkembangan yang berlaku di negeri Perlis tentang kontroversi isu pelantikan jawatan MB.

“Pada mulanya saya tak bercadang langsung untuk bagi pandangan.

“Namun sebagai seorang yang ada sedikit latar belakang undang-undang dan memegang prinsip keadilan dalam al-Quran sepertimana dalam surah al-Maidah ( 5 : 8 ), saya terpanggil untuk beri kenyataan ini,” katanya.

“Ayat 8 surah al-Maidah basically tentang isu keperluan tegakkan keadilan hatta ke atas musuh kita. Bulan Ramadan pula bulan al-Quran,” katanya.