Malaysia Dateline

Isu Melayu Islam terancam dimainkan pembangkang sudah tidak logik

Penganalisis politik, Dr. Abdul Muqit Muhammad berpendapat isu keterancaman Melayu dan Islam yang dimainkan pembangkang pada masa ini dilihat sudah tidak begitu logik.

Pensyarah Universiti Malaya (UM) itu berkata, isu membabitkan sensitiviti masyarakat Melayu Islam sudah mulai kurang dan reda di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding semasa era PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kalau ada pun isu-isu melibatkan soal Melayu Islam yang dimainkan oleh pembangkang, bagi saya hal itu tidak begitu berkesan dan tidak nampak secara logik.

“Apa yang Perdana Menteri kita buat sekarang cukup buat masa ini untuk meredakan satu sisi penting psikologi orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dr. Abdul Muqit Muhammad

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tanggapan semasa masyarakat Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan yang terbentuk selepas PRU15 bulan lalu.

Katanya, ramai masyarakat Melayu semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan merasakan mereka terancam apabila kaum Cina memasuki Kabinet apatah lagi diberi peluang memegang portfolio penting untuk negara.

Namun, jelasnya, bagi barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada masa ini, komposisi Jemaah Menteri untuk etnik Cina dan India adalah sedikit berbanding Melayu dan Bumiputera.

“Setakat pemerhatian saya daripada jauh ini, saya nampak isu keterancaman Melayu sudah mula kurang dan reda, tidak sama macam zaman PH dulu.

“Ini mungkin disebabkan Anwar sendiri dah belajar daripada kesilapan PH pada masa 22 bulan memerintah dulu,” katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri Malaysia kali ini dilihat tidak lagi terburu-buru melantik menteri dan pemilihan kali ini lebih kepada mengikut komposisi kaum.

“Anwar tidak lagi membuat pelantikan secara mendadak sebaliknya perjawatan kepada menteri-menteri kanan adalah mengikut komposisi kaum.

“Imbas kembali zaman PH memerintah selama 22 bulan, PH lantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang dikira sangat drastik untuk sebahagian besar orang Melayu.

“Saya percaya Anwar faham tentang psikologi orang Melayu. Jadi, beliau mula mengelak daripada berulang perkara-perkara berkaitan isu tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tumpuan Anwar untuk terus mengutamakan penyelesaian mengatasi cabaran ekonomi dan kos sara hidup rakyat adalah lebih baik berbanding membuat keputusan menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu Islam agar tidak mudah dieksploitasi pembangkang.

“Anwar juga perlu elak buat kesilapan-kesilapan yang mungkin akan membuka peluang kepada pembangkang untuk mengkritik beliau,” jelas Abdul Muqit lagi.