Malaysia Dateline

Isu Menteri langgar kurantin tanggungjawab pemimpin politik

Kerajaan perlu mendedahkan cerita sebenar tentang skandal pelanggaran SOP oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, bukannya meletakkan beban itu untuk dijawab oleh penjawat awam tetapi hendaklah dijawab oleh pemimpin politik.

“Mengapa terdapat keengganan daripada memberikan rakyat gambaran sebenar mengenai lawatan dan peningkaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin dan ahli rombongan beliau?” tanya Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Beliau bersetuju penolakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang telah menolak untuk memberikan respons mengenai lawatan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang telah mengingkari SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas pulang daripada satu lawatan ke Turki itu.

“Saya menyokong Dr Noor Hisham dalam perkara ini, kerana persoalan tersebut ada soalan politik yang tidak sepatutnya dijawab oleh mana-mana penjawat awam, tetapi perlu dijawab oleh pemimpin politik.

“Kerana inilah saya telah bertanya secara khusus kepada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba untuk menjelaskan sama ada benar Kementerian Kesihatan bersalah seperti yang dituduh oleh pemimpin PAS dan sama ada kesenyapan mereka dalam perkara ini menjadi tanda persetujuan yang mereka bersalah,” kata Kit Siang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam satu Muktamar Dewan Ulama Pas Perak di Ipoh pada minggu lepas, telah berkata, Khairuddin sepatutnya dijulang sebagai seorang wira kerana kononnya, walaupun beliau melanggar SOP kuarantin Covid-19, lawatan beliau ke Turki itu telah membawa manfaat kepada sektor perladangan kelapa sawit.

“Dia langgar peraturan, tapi dia bawa berita baik, berita baik yang membawa manfaat untuk negara. Dia seorang herolah, macam burung hud-hud yang nak kena hukum tapi sebenarnya hero,” kata Hashim.

Namun Senator Aiman Athirah Sabu daripada Parti AMANAH telah mengatakan tindakan Hashim yang cuba mempertahankan Khairuddin dengan membandingkan beliau dan pelanggaran SOP yang dilakukannya dengan kisah burung hud-hud yang dinyatakan di dalam Al-Quran ini adalah satu tindakan yang “melulu dan keterlaluan”.

“Dan saya percaya beliau betul, jika tidak, pastinya Presiden Pas Datuk Hadi Awang sudah memulakan kempen di seluruh negara untuk menyambut kepulangan Khairuddin sebagai seorang “wira negara yang menyelamatkan Malaysia,” kata Kit Siang.

Hadi telah mengatakan dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional: “Dalam Pas, (kesalahan) yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang kedua kalau ada salah laku itu, kita serah kepada undang-undang.”

Hashim Jasin bukan sahaja telah menyerang Kementerian Kesihatan, tetapi juga Kementerian Luar Negeri, menyalahkan mereka terhadap serangan yang diterima Khairuddin akibat pelanggaran SOP kuarantin beliau.

“Kerana ini jugalah saya telah menanyakan Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein sama ada mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan Pas yang Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri telah “cuai”.

“Saya menyatakan sekali lagi, perkara di mana rakyat Malaysia masih tidak diberikan gambaran sepenuhnya mengenai skandal pengingkaran SOP oleh Khairuddin ini, mahupun laporan siasatan polis ataupun status pelbagai penipuan yang dikeluarkan semasa isu ini masih panas adalah sesuatu yang amat pelik dan luar biasa,” kata Kit Siang lagi.