Isu moral YaPEIM bazirkan wang anak syarikat tidak boleh dibiarkan, kata Mujahid

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) seharusnya menggunakan wang hasil perniagaan anak syarikatnya untuk kepentingan anak yatim, bukan untuk membiayai perjalanan menteri.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, kejayaan YaPEIM menjana kewangan tidak dipertikai namun isu moral yang berlaku di dalam pengurusannya tidak boleh dibiarkan.

“Tiada masalah dengan isu YaPEIM menjana kewangan seperti Ar-Rahnu dan sebagainya tetapi apa yang dipertikaikan kenapa wang itu dibelanjakan kepada hal-hal yang tidak penting seperti membiayai perjalanan menteri dan menganjurkan kursus kahwin di luar negara,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata, YaPEIM telah menjana pendapatan tahunan sebanyak RM1.034 bilion melalui perniagaan anak syarikatnya.

Antara anak syarikatnya ialah Ar-Rahnu yang sehingga 2015 telah menjana RM83 juta.

Mujahid juga berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom harus membersihkan namanya daripada tuduhan salah guna wang yayasan berkenaan.

“Isu moral dan dakwaan menggunakan wang anak yatim itu harus dijelaskan,” katanya yang juga pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang.

Bermula Oktober lalu, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) membuat siri pendedahan mengenai penyelewengan wang YaPEIM oleh pemimpin Umno dan Jamil Khir.

Rentetan daripada siri pendedahan itu, NOW akan menjelajah ke lima buah negeri sepanjang bulan ini bagi menjelaskan mengenai isu yang melibatkan perbelanjaan YaPEIM.

Pengarah NOW, Akmal Nasir berkata, pihaknya akan mengadakan forum di lima negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Johor dan Pahang selepas menerima maklum balas khususnya daripada pencarum yang kecewa dengan YaPEIM selepas teguran dibuat.

Beliau juga berkata pihaknya juga akan mendedahkan beberapa fakta baru yang didakwanya sebagai “pembaziran” yayasan itu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur jam 8.30 malam esok dan mengalu-alu media untuk membuat liputan.

“Saya percaya sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan peranan Yapeim kembali kepada tujuan asalnya yang berteraskan kepada amal jariah,” kata Akmal dalam satu kenyataan.

“Setiap pencarum yang dianggarkan sebelum ini seramai 588,930 orang berhak mengetahui hak-hak mereka dan peranan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan nasib yang susah dan memerlukan dapat dibantu melalui Yapeim,” katanya lagi.

Selain beliau, Akmal berkata majlis penerangan malam esok menampilkan Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dan aktivis hak asasi manusia dan bekas pemimpin mahasiswa Syukri Razab.

Forum di Alor Setar dan Padang Serai diadakan pada 4 Disember manakala di Jerai dan Merbok berlangsung sehari selepas itu (5 Disember).

Sementara di Perak (9 Disember), Muar dan Segamat (12 Disember) dan Pahang (13 Disember). Bagaimanapun lokasi dan masa yang lebih spesifik tidak dimaklumkan.

TAGS