Isu Myanmar: PBB jelaskan keadaan belum kondusif bawa pulang pelarian Rohingya

Isu Myanmar: PBB jelaskan keadaan belum kondusif bawa pulang pelarian Rohingya

Timbalan Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ursula Mueller berkata, Myanmar masih belum berusaha menyelesaikan secara serius dan konkrit isu yang membabitkan lebih 725,000 etnik Muslim Rohingya menjadi pelarian.

Kata beliau, sehubungan itu, keadaan masih belum sesuai untuk membawa kesemua mereka itu pulang ke Myanmar.

Beliau berkata demikian dalam majlis peringkat tinggi di Perhimpunan Agung PBB di New York.

Ujarnya, kerajaan Myanmar mesti segera mengambil langkah-langkah perlu, menunjukkan secara jelas komitmen mereka untuk mengubah apa yang telah berlaku.

Dalam ucapannya juga beliau menyifatkan etinik Rohingya merupakan “populasi tanpa negara terbesar di dunia”.

Beliau menggesa para penyumbang supaya terus membantu menyelesaikan krisis pelarian ini, sekali gus memberitahu bahawa rayuan yang dibuat oleh Bangladesh sehingga kini hanya 38 peratus dibiayai.

Mueller selanjutnya mendesak Myanmar supaya segera membuang sebarang fasiliti yang mengasingkan sekitar 600,000 etnik Rohingya yang masih berada di Myanmar.

Myanmar juga katanya perlu segera menamatkan “situasi buruk” yang terpaksa dilalui oleh masyarakat Rohingya di negara itu.

Sementara itu di PBB, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir menyelar kerajaan Myanmar atas tindakannya terhadap masyarakat Muslim Rohingya dan menuduh dunia gagal bertindak menghalangnya.

“Semua negara adalah bebas, tetapi apakah ini bermakna mereka mempunyai hak untuk membunuh beramai-ramai rakyat mereka sendiri,” kata Mahathir dipetik.

CATEGORIES