Malaysia Dateline

Isu nelayan: Perwakilan persoal kerajaan cipta perubahan tak penting

Perwakilan Pahang hari ini dengan tegas menegur sikap kerajaan yang banyak menyentuh kebajikan rakyat marhain terutama golongan nelayan yang menjadi penyumbang dalam merancakkan ekonomi negara.

Mohd Fadzli Mohd Ramli berkata, kerajaan perlu sedar bahawa negara sedang berhadapan dengan mood kemarahan rakyat yang semakin merebak.

“Pakatan Harapan berdepan dengan kemarahan rakyat sehingga mereka mula menerima politik perkauman yang dimainkan pembangkang.

“Saya tak faham kenapa kerajaan potong elaun sara hidup nelayan yang diberikan sebanyak RM300, sehingga dikurangkan kepada RM150 yang kemudiannya dinaikkan sedikit sehingga RM200.

“Saya tak faham kenapa kita ambil langkah kebelakang ini sedangkan kita perlu beri lebih kebaikan. Semalam, undi LKIM paling tinggi, jadi perlu fikirkan.

“Kita sepatutnya, kekalkan dan menambahbaik. Tapi sekarang kita dah cipta ‘unneeded changes’ dengan menerima ‘unwanted war’ dari rakyat termasuk melalui pembuatan kereta terbang,” katanya dalam perbahasan pidato Presiden di Konvensyen AMANAH Nasional, di Pusat Konvensyen (IDCC) Shah Alam hari ini.

Setakat ini, beberapa perwakilan termasuk Sabah turut membentangkan usul berkenaan kebajikan nelayan dengan menyentuh realiti keadaan rumah yang daif berdindingkan buluh.

Jelasnya juga, kerajaan berhadapan kekecewaan rakyat apabila Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) ditukar kepada Bantuan Sara Hidup, sehingga melibatkan beberapa kelompok yang kini disekat bantuan tersebut.

“Kerajaan gagal beroperasi di akar umbi. Kita tak rasa kebersamaan. Rakyat terpinga-pinga apakah struktur untuk golongan bahwahan. Kita juga terpinga-pinga apakah program untuk luar bandar. Apa peranan kami di kampung.

“Saya faham mereka masih ‘teraba-raba’ dengan fungsi sebagai menteri, tapi itu bukan alasan. Mereka mesti ubah kehidupan rakyat kerana menteri dan timbalan menteri bukan tukang rasmi program. Mereka mesti menjadi pendukung rakyat.

“Saya minta pak menteri cakap bahasa kami dan bahasa rakyat. Jangan cakap bahasa retorik, bercakap lah pro rakyat marhain. Ramai dah sebut bahwa kita perlu betulkan komunikasi,”ujarnya.