Isu Orang Asli Gua Musang: Kelantan akan dapat laporan keputusan penuh Mahkamah

Isu Orang Asli Gua Musang: Kelantan akan dapat laporan keputusan penuh Mahkamah

K

Datuk Mohd Amar Nik AbdullahKerajaan Kelantan akan mendapat laporan penuh keputusan Mahkamah Majistret Gua Musang yang membatal permohonan sebuah syarikat pembalakan untuk meruntuh sekatan laluan pembalakan oleh sekumpulan masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan laporan sebenar berkaitan kes berkenaan.

“Memang pembalak yang bawa kes itu ke mahkamah. Kerajaan negeri ingin mengenal pasti tuntutan yang dibawa mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota semalam seperti dilapor Harakahdaily.

Mahkamah Majistret Gua Musang dilapor menolak Syarikat Jajaran Wawasan Enterprise bagi meroboh sekatan laluan pembalakan di Pos Balar.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah dengan mendakwa masyarakat sekumpulan Orang Asli di Gua Musang mendirikan sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan mereka.

Difahamkan isu tersebut tiada kaitan dengan syarikat milik kerajaan negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan yang mendapat konsesi pembalakan di Hutan Simpan Balah.

Akhir September tahun tahun lalu sekumpulan Orang Asli yang dipercayai didalangi Jaringan Kampung Orang Asli sehingga menyebabkan aktiviti pembalakan di hutan simpan Balah terhalang.

Berikutan itu pada akhir November lalu polis menahan 47 kumpulan Orang Asal yang terbabit dengan sekatan laluan pembalakan di Simpang Petei.

Bagaimanapun kumpulan Orang Asli terbabit difahamkan mendirikan semula sekatan laluan pembalakan di Simpang Petei, Pos Pasik dan Bihai seolah-olah mencabar agensi pengkuatkuasa.

TAGS