Malaysia Dateline

Isu Ordinan dibatal: ‘Saya tidak faham kenapa penjelasan perlu dibuat Isnin depan’ 

Biro Undang-undang (KANUN) AMANAH berpendapat isu tentang pembatalan Ordinan Darurat yang berkait dengan keabsahan undang-undang dan prinsip perlembagaan, seharusnya diselesaikan terlebih dahulu oleh menteri di dalam Parlimen.

Ahli Jawatankuasa KANUN, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, beliau tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun apabila bertindak menangguhkan penjelasan menteri pada hari Isnin minggu hadapan.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat kerap kali menegaskan bahawa keputusan beliau tersebut adalah selaras dengan aturan mesyuarat Dewan.

“Saya berbeza dengan beliau kerana persoalan yang berbangkit adalah persoalan keabsahan undang-undang dan prinsip perlembagaan yang harus diselesaikan terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Anwar yang juga bekas Pegawai Tugas-tugas khas kepada Tan Sri Ariff itu juga mempertikaikan bagaimana Ordinan Darurat boleh dibatalkan sedangkan tiada sebarang pemakluman tentang perkenan dari Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi warta kerajaan yang mengesahkannya.

“Secara peribadi dan sejujurnya, saya sendiri kurang faham jauh sekali bersetuju dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menangguhkan penjelasan atau jawapan oleh menteri berkenaan pada hari Isnin minggu hadapan.

“Saya tidak nampak urusan-urusan lain harus didahulukan berbanding penjelasan tersebut kerana jika penjelasan yang bakal diberikan nanti tidak diterima oleh Dewan, maka semua urusan mesyuarat yang telah mendahului akan menjadi akademik dan tidak relevan,” ujarnya lagi.

Pada masa sama Wan Anwar menegaskan, jika pembatalan ordinan belum mendapat perkenan Agong, maka ianya wajib dibentang dan dibahaskan sebelum keputusan dibuat untuk meneruskan atau batal.

Beliau juga mengingatkan agar Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk tidak berselindung di belakang Peraturan Mesyuarat Dewan kerana beliau mempunyai kuasa untuk menentukan aturan urusan mesyuarat dan memberi arahan agar menteri berkenaan untuk memberi penjelasan serta merta.