Isu pakaian: Tanggungjawab kita bersama tanganinya

Isu pakaian: Tanggungjawab kita bersama tanganinya

Sebagai seorang Islam, pakaian adalah satu prinsip yang memang termaktub dalam al-Quran dan Hadith yang tidak boleh dinafikan haknya. Sebagaimana sering kita dengarkan:

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya”
(Quran Surah An Nur: 31)

Aurat itu wajib ditutup sebagaimana sabda Nabi Salallahu Alaihi Wasallam:

“Jagalah (tutuplah) auratmu kecuali pada isteri atau budak yang engkau miliki.”
(Hadith Riwayat Abu Daud no. 4017 dan Tirmidzi no. 2794)

Sebagaimana yang telah kita pelajari, ketahui dan fahami, aurat wanita merdeka di dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah (muka) dan telapak tangan, termasuk dalam telapak tangan adalah bahagian dalam telapak tangan. Dan hal itu juga jelas ketika di luar solat.

Maka, sewajarnya tuntutan menutup aurat ini tidak perlu dipersoalkan atau menjadi polemik yang membingungkan. Tidakkah timbul rasa kasihan apabila melihat wanita Islam kita tidak melaksanakan perintah Allah yang satu ini?

Mungkin ada yang akan berkata, terpulang pada diri masing-masing. Ikut suka dialah. Siapa suruh cari kerja begitu. Carilah kerja lain. Dan pelbagai lagi kata yang dilontarkan seakan, membiarkan mereka terus begitu dan begitu tanpa memikirkan solusi terbaik.

Namun isu gangguan seksual itu terus berleluasa. Siapa yang perlu kita pertanggungjawabkan?

Menelusuri sejarah lampau, Rasulullah Salallahu Alahi Wasallam pernah menegur Asma binti Abu Bakar Radhiyallahu anhuma ketika beliau datang ke rumah Nabi Salallahu Alaihi Wasallam dengan mengenakan pakaian yang agak nipis. Baginda pun memalingkan mukanya sambil berkata:

“Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak daripadanya anggota badannya kecuali ini dan ini (baginda mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan). [Hadith Riwayat Abu Dawud, no. 4104 dan al-Baihaqi, no. 3218]

Begitu indah teguran Nabi Salallahu Alaihi Wasallam kepada Asma. Dan bersesuai dengan Malaysia Baharu di bawah Kerajaan Pakatan Harapan ini, sewajarnya ia diambil peduli dengan sesungguhnya.

Lontaran mengenai aurat yang ‘dibualkan’ di parlimen tempoh hari, perlu disepakati agar ia menjadi satu dasar yang baik untuk kita semua. Bukan sahaja ‘pandangan mata’ dapat dipelihara, tetapi maruah wanita itu sendiri terjaga.

Dan sewajarnya dasar kerajaan mengenai etika berpakaian untuk wanita Islam ini perlu diubah dan sistem yang sesuai perlu diwujudkan supaya memberi laluan kepada wanita Islam mengamalkan kewajipannya. Tentunya melalui hal ini, ia sedikit sebanyak menjaga maruah wanita Muslim, di samping satu usaha mengelakkan perkara yang tidak diingin terjadi dan terus berleluasa.

Suka saya memetik bicara YB Zailah “Sebagai seorang Islam, bagi saya sama ada ahli-ahli parlimen atau rakyat Malaysia yang beragama Islam dan beriman kepada Allah, sepatutnya perintah agama ini jangan dipermainkan.”

Banyak kisah sirah yang dapat kita ambil ibrah (pengajaran) dan panduan serta iktibar untuk menyokong tuntutan ini. Namun, sebagai seorang Islam yang beriman, sewajarnya kita mengakui dan tiada alasan untuk menafikan kebenaran yang telah disyariatkan.

Agama Islam selaras dengan fitrah manusia. Selama fitrah tersebut masih suci, tidak dinodai dengan maksiat, maka menjaga aurat adalah dari pembawaan manusia sejak lahir, sebagaimana Nabi Adam dan isterinya ketika terdedah aurat mereka dek terpedaya memakan buah larangan, segera menutup kembali aurat dengan dedaunan syurga, sebagaimana dikisahkan Allah Azza wa Jalla dii dalam surah al-A’raf:

“Maka syaitan memujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan dedaunan syurga. Kemudian Rabb mereka menyeru mereka, “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”. [al- A’raf ayat 22]

Namun, ketika fitrah ini telah mula hilang daripada manusia dan ketika sifat malu pada diri mereka mulai terhakis, maka sewajarnya ada yang mengingatkan mereka dalam menjaga tuntutan yang satu ini. Kerana mempertontonkan atau mendedahkan aurat itu merupakan sebuah kemungkaran yang harus di ingkari, sebagaimana Rasulullah nyatakan;

“Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak berkeupayaan maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.”
[HR. Muslim, no.49]

Mahukah selamanya kita dalam lingkungan “iman yang lemah?”

Ketahuilah kita bahawa mengubah kemungkaran dengan tangan adalah hak dari ulill amri (pemerintah) atau orang yang memiliki kekuasaan, seperti ayah kepada anaknya, atau suami terhadap isterinya. Seorang bapa pula berkewajipan menjaga aurat anak perempuannya jika ia sudah mencapai usia baligh.

Mereka berkewajipan melarang anak perempuan mereka berdandan atau berpakaian yang tidak menutup aurat ketika keluar rumah. Begitu pula seorang suami, ia juga berkewajipan menjaga aurat isterinya, seperti menyuruhnya berpakaian yang menutup anggota tubuhnya, menyuruhnya bertudung ketika keluar rumah.

Dan jika sudah diberi nasihat dengan cara yang baik, suami boleh memberikan ‘kata’ kepada isterinya yang tetap membuka auratnya, iaitu dengan memisahkan tempat tidur atau memukulnya dengan pukulan yang tidak meninggalkan kesan. Kerana membuka aurat adalah bahagian daripada nusyuz (meninggalkan salah satu kewajipan) seorang isteri kepada suaminya. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman tentang ayat ini;

“Wanita-wanita yang kamu risaukan nusyuz, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi maha besar.” [An-Nisa’ ayat 34]

Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa pemerintah atau kerajaan itu sendiri turut mempunyai peranan penting dalam menjaga aurat rakyatnya, sehingga mereka tidak selayaknya berpakaian dan berpenampilan yang menampakkan auratnya di depan umum.

Keharmonian sesebuah masyarakat akan rosak jika perkara ini tidak dititik beratkan atau dilarang. Kerana melalui ini akan terjadi pelbagai kemungkaran seperti perzinahan, pemerkosaan dan yang lainnya, sebagaimana banyak berleluasanya kini.

Ibnu Qayyim rahimahullah telah menjelaskan dalam Kitab at-Thuruq al-Hukmiah, hlm. 238;

“Wajib bagi waliyul amri (pemerintah : Kerajaan) melarang perempuan yang keluar (rumahnya) dengan berdandan dan bersolek (keterlaluan), dan juga melarang mereka berpakaian yang menampakkan auratnya.

Seterusnya jika terjadi juga kepada mereka yang beragama Islam ini atau terdapat pelangggaran dalam masalah ini, pihak yang berwajib wajar mengenakan amaran terhadap pelakunya, dan hal ini di benarkan dalam agama Islam.

Etika pemakaian wanita Islam sewaktu bekerja dan berada di luar rumah perlu dijelaskan agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Moga ini menjadi satu titik tolak dan permulaan yang baik untuk menokhtahkan perkara yang selama ini tidak dapat dibendung yang hebat berleluasa, seperti gangguan seksual ini.

Tentu kita sebagai seorang Islam yang beriman, mengharapkan sesuatu pembaharuan daripada Kerajaan Baharu Pakatan Harapan mengenai isu ini, kerana ia bukanlah isu remeh dan picisan sepertimana tanggapan sesetengah pihak dan perlu dicari solusinya segera demi menjaga kepentingan dan martabat wanita Islam dengan tatasusilanya.

* Penulis adalah Ketua Biro Kesenian dan Kebudayaan AWAN Nasional

CATEGORIES