Isu Palestin: MCA buli Pas, Umno

Isu Palestin: MCA buli Pas, Umno

Pas dan Umno kini dilihat seolah-olah sedang dibuli oleh rakan ta’awun serta teman politik mereka iaitu MCA, kata Penyelaras Dun Tokai, Pendang, Kedah, Firdaus Jaafar.

Menurutnya, apabila isu ini tidak dijawab serta tidak menzahirkan rasa kemarahan, ia menimbulkan pelbagai persepsi.

Walhal ujarnya, umat Islam di Palestin menzahirkan rasa gembira dengan keputusan Perdana Menteri melarang penyertaan atlet Israel tersebut.

“Seharusnya mereka boleh mengadakan bantahan dan demonstrasi di hadapan Pejabat MCA sekiranya mereka berani untuk bertindak sedemikian.

“Jika benar dakwaan mereka sebelum ini bahawa Pas adalah jagoan umat Islam dan Umno pula sering mendakwa sebagai juara bangsa Melayu.

“Maka sewajarnya mereka mengadakan demonstrasi melawan balas ucapan MCA yang tidak memikirkan mengenai penindasan terhadap umat Islam di Palestin, ” tegasnya yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen Jerai.

Baru-baru ini Pemuda MCA Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan yang menganggap keputusan kerajaan melarang atlet Israel ke Malaysia sebagai menyedihkan dan mundur.

Malah Pengerusinya Tan Teik Peng mendakwa larangan terhadap atlet Israel tersebut telah mencemarkan reputasi Malaysia diperingkat antarabangsa serta beranggapan Menteri Belia dan Sukan gagal membezakan antara sukan dan politik.