Malaysia Dateline

Isu Palestin: Selepas 19 tahun, Mahathir bakal kembali sepentas dengan Presiden Pas

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan bakal sepentas berdialog dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah pada 20 Mei ini.

Slot Dialog Tiga Penjuru menerusi Saluran 501 Astro Awani yang membincangkan isu Palestin itu turut menampilkan seorang lagi ahli panel, Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti.

Slot program episod tujuh melibatkan ketiga-tiga tokoh tersebut bertajuk ‘Di Sebalik Senyuman Hamza’ merujuk kepada seorang anak Palestin berusia 11 tahun yang terkorban dibedil Israel minggu lalu.

Kemunculan Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berdialog dengan Abdul Hadi sekali gus mengulangi sejarah pertemuan Ahli Parlimen Langkawi itu dengan Presiden Pas, 19 tahun lalu.

Bezanya, Mahathir ketika itu merupakan Perdana Menteri sepentas bersyarah dengan Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang juga ketua pembangkang.

Syarahan Perdana Palestin dan Kemanusiaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 Mei 2002 itu menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah negara, ketua kerajaan dan ketua pembangkang duduk sepentas berucap mengenai perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin.

Pada akhir syarahan, kedua-dua pemimpin terbabit menandatangani Persefahaman Bersama bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan sanggup berbuat apa sahaja bagi membantu mengembalikan Palestin sebagai negara berdaulat.

Syarahan berkenaan isu Palestin pada masa itu anjuran DBP diterajui Datuk A Aziz Deraman dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Walau bagaimanapun, persetujuan Allahyarham Datuk Fadzil untuk hadir dalam pidato tersebut berlaku tanpa persetujuan atau memaklumkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat.

Akibatnya, beliau dikritik termasuk menggunakan kuasa prerogatif sebagai pemimpin utama parti itu dalam membuat keputusan ditambah laungan Reformasi yang masih membahang ketika itu.

Kritikan itu turut dizahirkan dalam lidah rasmi Pas, Harakah, keluaran 1-15 Jun 2002 menerusi ruangan pendapat yang antara lain menganggap pertemuan kedua-dua pemimpin terbabit seolah-olah dirancang bagi menunjukkan wujudnya perpaduan.

Bahkan, penulis itu berkata, Pas tidak sepatutnya mengenepikan prinsip perjuangan untuk duduk atas pentas yang sama dengan orang yang tidak mempercayai Hari Akhirat dan bantuan Allah.

Dihujani bom

Dalam hal berkaitan, Abdul Hadi menerusi Facebook rasminya hari ini menceritakan latar belakang Hamza yang menjadi tajuk dialog dengan Mahathir dan Dr Afifi, Khamis nanti.

Menurut bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia berkenaan, Hamza Nassar baru berusia 11 tahun yang maut akibat dihujani bom rejim Zionis Israel di Gaza baru-baru ini.

“Sekiranya Hamza dilahirkan di Malaysia, sudah pasti Hamza akan bermain dengan seronoknya dengan kawan-kawan di sekolah dan sekitar rumahnya.

“Apatah lagi dengan kita baru sahaja meraikan Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Anak-anak kecil riang ria bermain bunga api dengan sanak saudara.

“Namun, tidak begitu suasananya bagi mereka yang dilahirkan di Palestin. Bom dan peluru bedilan tentera rejim Zionis menjadi kebiasaan mereka.

“Mereka sentiasa dihantui dengan bedilan keras tentera rejim Zionis yang ganas dan tidak berperikemanusiaan,” kata Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Marang tersebut turut menegaskan situasi Yahudi Zionis yang semakin menggila, zalim dan kejam.

“Hanya ada satu kata buat rejim Zionis, kami akan lawan dan kami tidak akan sesekali mengalah!

“Persoalannya, bagaimana? Semuanya dalam #DialogTigaPenjuru,” tambahnya lagi.