Malaysia Dateline

Isu Palestin: Undang-undang antarabangsa laksana sarang labah-labah, kata Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menyifatkan undang-undang antarabangsa gagal menyekat kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua persenjataan Israel mencukupi kerana telah dibekalkan oleh negara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Pada masa sama, jelasnya, Israel juga mempunyai kilang sendiri termasuklah senjata pemusnah yang telah diharamkan oleh undang-undang antarabangsa seperti bom fosforus putih dan lain-lain.

“Negara haram Israel tetap mendapat perlindungan oleh kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan tidak mampu dihukum oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan undang-undang antarabangsa laksana sarang labah-labah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Minda Presiden hari ini sebelum kira-kira lima jam bersiaran sepentas berdialog dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Saluran 501 Astro Awani malam ini.

Abdul Hadi turut berpendapat negara-negara Islam sentiasa berada dalam ugutan atau sekatan sebaliknya hanya Iran dan Turki kini mara menjadi kuasa besar yang tidak tunduk kepada kuasa barat dan timur.

“Iran telah membuat kenyataan secara terbuka bahawa mereka telah membekalkan senjata tercanggih yang mampu mengatasi pertahanan negara Israel dan menembusi sistem kubah besi (Iron Dome) yang dikatakan sangat kebal itu.

“Adilkah sekiranya negara Israel yang ganas boleh dibantu secara bebas oleh kuasa-kuasa besar?

“Sebaliknya gerakan Hamas, Tanzim Jihad dan lain-lain di Palestin pula dianggap salah kerana dituduh sebagai pengganas?” bidasnya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyifatkan tuduhan pengganas terhadap gerakan pembebasan Palestin adalah sangat tidak bermoral dan bercanggah dengan nilai kemanusiaan.

“Tidak syak lagi bahawa Israel mendapat restu negara sekutu yang dikepalai oleh Amerika Syarikat, di mana hala tuju negara kuasa besar itu telah ditentukan oleh pengaruh gerakan Freemason dan Zionis dalam setiap pilhan raya yang diadakan.

“Cuma yang membezakannya hanyalah tokoh-tokoh, laksana gambar dalam satu keping duit yang sama,” tambah bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu lagi.