Isu pampasan pencen LTAT: Rafizi mahu Hishamuddin campur tangan

Isu pampasan pencen LTAT: Rafizi mahu Hishamuddin campur tangan

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendesak Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein memberi penjelasan dan bertangungjawaba untuk menyelesaikan isu pampasan pencen pesara tentera yang kini masih lagi tertangguh.

Beliau menegaskan, Hishamuddin perlu berjanji bahawa segala proses dan prosedur akan diperkemaskan secepat mungkin dan semua pesara yang belum menerima pampasan dibayar dalam tempoh seminggu.

“Jika ini tidak berlaku saya akan mula menjelajah ke kem-kem tentera di seluruh negara untuk “menghasut” angkatan tentera dan pesara tentera mengenai kegagalan Datuk Seri Hishamuddin dan Umno menjaga kebajikan pesara tentera,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden PKR ini berkata, tetap membawa isu ini tanpa mengira karenah LTAT yang mengambil tindakan saman dan lain-lain terhadapnya.

“Walaupun sebenarnya saya kurang selesa dengan sikap bongkak yang dipamerkan oleh kepimpinan dan pengurusan LTAT (apatah lagi mereka ini adalah bekas-bekas jeneral yang sepatutnya prihatin dengan kebajikan dan kesusahan pesara tentera), saya

“Saya berkeras menyuarakan perkara ini kerana sehingga kini tidak ada tanda-tanda bahawa masalah kelewatan pembayaran pampasan pencen oleh LTAT kepada pesara tentera telah diselesaikan. Saya terus menerima aduan terutamanya melalui laman media sosial oleh pesara-pesara tentera bahawa mereka masih belum menerima pampasan walaupun ada yang telah bersara/berhenti lebih enam bulan.

“Saya juga telah menyemak sendiri beberapa laman berkaitan Jabatanarah Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) yang sering dijadikan alasan sebagai punca kelewatan pembayaran pampasan pencen kepada pesara,” terangnya.

Justeru beliau turut menyertakan beberapa petikan aduan orang ramai melalui laman facebook UGAT.

Bagaimanapun Rafizi sendiri gagal untuk mencari maklumat mengenai UGAT yang membolehkan orang awam atau pesara menghubungi mereka di laman-laman utama Angkatan Tentera.

“Saya juga pada mulanya ingin menulis surat kepada Pengarah UGAT untuk memohon satu temujanji agar saya mendapat penerangan dari UGAT mengenai punca berlaku kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara.

“Setiap kali saya menimbulkan isu kelewatan pembayaran pampasan kepada pesara, LTAT berkeras bahawa tidak berlaku kelewatan kerana LTAT telah membayar mengikut masa piawai setelah LTAT menerima dokumen dari UGAT.

“Apabila pesara menghubungi UGAT untuk mendapat jawapan, mereka menghadapi kesukaran untuk berhubung kerana telefon tidak diangkat.

“Jika pun mereka hadir sendiri ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pegawai UGAT, kosnya terlalu mahal dan menambahkan beban mereka sedangkan pampasan pencen itu adalah wang mereka yang mereka carum selama ini.

“Akhirnya pesara tentera tidak ubah diperlakukan seperti bola apabila disepak dari LTAT ke UGAT balik ke LTAT dan berpusing ke UGAT. Bayaran pampasan pencen mereka masih terlewat dan kalau dibayar pun ia berlaku berbulan-bulan selepas mereka tamat perkhidmatan,” ujarnya.

Menurur Rafizi apa yang berlaku ini adalah satu penganiayaan kepada pesara tentera dan sepatutnya sebarang masalah komunikasi dan pentadbiran di antara UGAT dan LTAT diselesaikan dengan secepat mungkin agar pesara tentera mendapat pampasan pencen dalam tempoh yang segera selepas mereka tamat perkhidmatan.

“Lebih teruk lagi, sepanjang penganiayaan ini berlaku saya tidak dengar Menteri Pertahanan, campur tangan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Sebaliknya beliau cepat ambil kesempatan menggunakan isu LTAT untuk mengkritik saya tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah pentadbiran dalaman LTAT dan Angkatan Tentera sehingga kelewatan bayaran pampasan berterusan.

“Oleh yang demikian, saya membuat permohonan terbuka untuk berjumpa dengan Pengarah UGAT agar saya dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi UGAT sehingga menyebabkan kelewatan ini.

“Saya boleh dihubungi di email [email protected] sekiranya UGAT sudi duduk berbincang dengan saya; memandangkan saya tidak ada maklumat bagaimana berhubung dengan UGAT,” ujarnya yang bersedia pada bila-bila masa untuk mengadakan pertemuan dengan pengurusan UGAT.