Malaysia Dateline

Isu PdPR bukan dongeng lagi, bertindaklah segera

Di Kota Bharu, Kelantan, seorang ibu berusia 42 tahun terpaksa ‘mengorbankan’ telefon pintarnya untuk digunakan oleh lima orang anaknya bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

Di Kapit, Sarawak seorang guru terpaksa membawa sekumpulan pelajarnya berkhemah lima km dari sekolahnya untuk membolehkan mereka mendapat signal internet bagi memberitahu pelajarnya cara untuk menggunakan PdPR.

Ebit Liew, seorang pendakwah pula menjadi harapan orang ramai untuk membantu mereka mendapatkan gadjet bagi membolehkan anak-anak mereka belajar di zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inilah senario yang berlaku di seluruh negara ketika kerajaan yang mendapat kuasa melalui pintu belakang cuba menyelesaikan masalah pendidikan ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19.

Kemiskinan dan kesenjangan digital bukanlah satu dongeng yang dibuat-buat. Ia satu masalah kritikal yang meruncing, khususnya dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak boleh berterusan menutup mata dan memekakkan telinga berkenaan isu-isu kritikal berkaitan pendidikan anak-anak di Malaysia.

Satu tahun adalah tempoh masa yang cukup panjang bagi kerajaan dan KPM berbincang, merangka serta memberitahu dan melaksanakan perancangan mereka bagi mengatasi masalah-masalah yang membelenggu guru-guru, ibu bapa dan para pelajar. Namun, ini tidak berlaku. Kelembapan PN serta KPM tidak dapat ditoleransi lagi.

Mutakhir ini, banyak pihak meluahkan kebimbangan tentang isu pendidikan negara dan mendesak kerajaan agar mengambil tindakan lebih pantas dan tuntas bagi menangani isu-isu pendidikan, khususnya berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti ketiadaan akses internet, ketiadaan alat peranti elektronik, kelemahan TV Pendidikan yang sepatutnya dinaik taraf segera dan banyak lagi.

Tidak sedikit ibu bapa dan anak-anak terkesan dengan arahan PdPR ini lebih-lebih lagi tiada perancangan dan persediaan yang jelas serta bantuan segera disalurkan pada mereka.

Kadang-kala anak-anaknya menangis kerana merasakan sulit belajar dalam keadaan serba kekurangan apabila perlu menunggu giliran untuk mengikuti kelas. Ada ibu bapa yang sanggup membuat bayaran ansuran untuk mendapatkan komputer riba terpakai.

Ada pula yang kini mengharap pada Ebit Lew serta wakil-wakil rakyat kawasan masing-masing membantu mendapatkan alat peranti elektronik buat anak-anak mereka.

KPM sedar sejak April 2020 lagi bahawa lebih daripada 30 peratus pelajar-pelajar di Malaysia tidak mempunyai alat peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer riba ataupun tablet yang membolehkan mereka mengikuti PdPR.

Kini kita sudah memasuki Februari 2021, masalah ini tetap tidak dapat diselesaikan oleh KPM dan kerajaan PN. Anak-anak kita semakin tercicir dalam pembelajaran dan kedua-dua pihak inilah yang bertanggunjawab kerana tidak kompeten dalam melaksanakan tindakan sewajarnya.

Mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkali-kali menuntut penjelasan kerajaan berkenaan status 150,000 unit komputer riba yang dijanjikan oleh kerajaan PN dalam Belanjawan 2021.

Malah, menurutnya 150,000 komputer riba tidak mencukupi untuk semua pelajar di Malaysia yang memerlukan.

“Bagaimana kerajaan boleh berpuas hati dengan menjanjikan 150,000 komputer riba, sedangkan PdPR adalah norma baharu yang akan dilalui dalam satu tempoh masa yang panjang?” soalnya.

Pendekatan kerajaan hari ini yang memilih untuk melaksanakan pembelajaran digital dan atas talian menggunakan tablet, komputer riba atau telefon pintar ini bakal menyebabkan lebih ramai pelajar tercicir.

Bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan Malaysia, Profesor Jomo K Sundran berpendapat, ramai pelajar akan tercicir dengan pendekatan ini, sedangkan kerajaan boleh melaksanakan pembelajaran menerusi televisyen dan radio yang lebih praktikal kerana lebih kurang 90 peratus pelajar di Malaysia mempunyai alat tersebut.

Menurutnya, inilah akibat apabila dasar dibuat berkiblatkan kecanggihan dan melebihkan orang berada serta berpengaruh semata-mata, berbanding masyarakat umum.

Akhirnya, ramailah anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan terabai juga tercicir dalam pelajaran. Mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik adalah antara ahli Parlimen yang aktif menyuarakan isu-isu meruncing berkenaan PdPR.

Terutamanya, berkaitan dengan pelajar-pelajar yang tinggal di pedalaman tanpa kemudahan akses internet.

“Pihak syarikat telekomunikasi perlu bersama dengan kerajaan melalui pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk memastikan capaian internet dapat diperluaskan,” kata Maszlee, memberi cadangan bagi menangani masalah ketiadaan akses internet di kawasan luar bandar.

Kerajaan dan KPM tidak boleh berterusan mengambil pendekatan “one-size-fit-all” dalam menangani cabaran pendidikan di kala pandemik ini.

Pandangan daripada pelbagai pihak perlu didengari terutama keluhan ibu bapa, gugu-guru dan para pelajar yang terkesan hebat dalam memastikan anak-anak di Malaysia tetap mengikuti sesi pembelajaran.