Malaysia Dateline

Isu pemandu mabuk: Kerajaan PN perlu tunjukkan kesungguhan politik, kata DAP

Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan kesungguhan politik mereka dalam isu pemandu mabuk dengan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin supaya RUU pindaan berkaitan isu berkenaan dapat dibentangkan dan diluluskan.

Dalam satu kenyataan bersama wakil rakyat dan pemimpinnya, DAP berkata, pihaknya merujuk kepada insiden pemandu mabuk yang menyebabkan kematian di Kuantan, seperti yang dilaporkan media pada 26 Mei 2020.

Katanya, ini merupakan tragedi kedua yang berakhir dengan kematian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas kes kematian Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail pada awal bulan ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH), melalui mantan Menteri Pengangkutan Saudara Anthony Loke Siew Fook telahpun memaklumkan bahawa kerajaan pada ketika itu akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman keras ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol, di samping pindaan-pindaan lain termasuk menggantung lesen memandu seumur hidup.

“Malahan, rang undang-undang juga dijadualkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen tahun ini. Ini menunjukkan PH mempunyai kesungguhan politik untuk menangani isu ini,” kata kenyataan itu.

Malangnya kata DAP, pihaknya tidak melihat kesungguhan politik yang sama daripada Kerajaan PN sekarang.

Jelasnya, isu pemandu mabuk, yang dahulunya menjadi isu besar pembangkang BN dan Pas, kini seperti tidak lagi menjadi prioriti apabila mereka menjadi Kerajaan.

“Mereka sekadar menyebarkan soal selidik Kementerian Pengangkutan yang dijalankan secara atas talian, dan mencadangkan supaya suatu Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan, walhal apa yang patut dilakukan adalah meminda undang-undang sedia ada.

“Kami dengan ini menggesa supaya kerajaan PN menunjukkan kesungguhan politik mereka dalam isu ini dengan mengadakan sidang Parlimen dengan secepat mungkin supaya RUU pindaan ini dapat dibentangkan dan diluluskan,” katanya.