Malaysia Dateline

Isu Pembalakan: Menteri Alam Sekitar digesa bersuara

Pengerusi Biro Alam Sekitar AMANAH, Datuk Raja Kamarul Raja Bahrin Shah mempersoalkan pendirian dan prioriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggap tidak menghiraukan isu pembalakan di tiga buah negeri di Malaysia.

Beliau berkata, rakyat patut berasa bimbang apabila tanah rezab Melayu ketika ini hanya tinggal 13 peratus berbanding 50 peratus, dek kerakusan kerajaan menggadai hutan simpan untuk pembalakan ‘tauke balak kaya’.

Ini kerana katanya, rakyat Terengganu, Kedah dan Kelantan kebanyakannya bekerja sebagai petani, pekebun dan nelayan yang memerlukan penjagaan alam sekitar secara baik dan rapi.

“Kalau kerajaan yang mendakwa dirinya kerajaan Melayu Islam tidak membela nasib Melayu Islam di tiga negeri termiskin di Malaysia, di manakah letaknya prioriti mereka?

“Hutan simpan negara sepatutnya dikekalkan di tahap 50 peratus kawasan tetapi kini telah jatuh ke tahap sekitar 40 peratus.

“Yang paling terkesan adalah golongan termiskin di kampung dan desa yang bercucuk tanam, serta golongan petani yang amat perlukan pembelaan.

“Ianya bukan melibatkan hanya isu hakisan dan berlaku banjir besar, tetapi juga tentang ancaman hidupan liar yang keluar dari habitat hutan asal selain turut mengancam keselamatan serta hasil cucuk tanam petani dan pekebun yang daif,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kontroversi semalam membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah yang dilepaskan dari dakwaan menerima rasuah projek pembalakan di negeri itu.

Beliau berkata, sudah beberapa kes yang memperlihatkan Menteri-Menteri PN membisu tidak menjawab persoalan tentang kes pembalakan terutama pengumuman kerajaan yang mahu membuka semula konsesi balak di Hutan Simpan Ulu Muda.

Beliau turut memetik isu pembatalan pewartaan hutan Simpan Belara Terengganu yang dipercayai telah dikeluarkan secara senyap-senyap oleh kerajaan.

Kamarul yang juga Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkata, mereka yang berkuasa di dalam politik nampaknya tidak boleh dipisahkan dengan isu pembalakan sehingga membabitkan rasuah ratusan juta ringgit.

Biarpun begitu, beliau mengulangi pendiriannya yang menggesa agar Menteri Alam Sekitar bertindak segera menyelesaikan semua permasalahan rakyat berpunca daripada pembalakan di negeri mereka.