Isu pembatalan 16 enakmen syariah Kelantan, Zahid tegaskan tak perlu politikkan hal tersebut

Oleh MAISARAH AISYA

Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendapat pelbagai jenis reaksi.

Bukan sahaja orang awam malah daripada kalangan ahli politik juga yang tidak habis memainkan isu tersebut.

Memetik BERNAMA, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan orang ramai untuk tidak politikkan isu tersebut.

Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu berkait dengan peruntukan perundangan diluluskan oleh DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan dan bukannya berkenaan Mahkamah Syariah.

Setuju jika Ahli Parlimen mahu memperkasa undang-undang syariah

Beliau turut bersetuju sekiranya perbincangan antara Ahli Parlimen yang beragama Islam diadakan, bagi memperkasakan undang-undang syariah.

Tapi dengan syarat pihak yang terlibat tidak mempolitikkan isu itu.

“Soal perbincangan, boleh diadakan, tetapi kita mesti menelaah tentang soal penentuan fikrah dan tidak menjadikan politik (sebagai) garis utama, atau sudah terhentak ke dinding baru nak panggil orang Islam untuk bincang tentang perkara ini,” katanya seperti dipetik BERNAMA.

Ahmad Zahid menjawab ulasan diberikan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar sebelum ini mengajak semua pihak, terutama ahli Parlimen beragama Islam untuk bergabung berbincang mengenai memperkasakan undang-undang syariah.

Ia susulan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Baca juga: Fahmi bela nasib Ross Ariffin, bantu dapatkan rumah lepas bertahun hidup gelandangan