Malaysia Dateline

Isu pembebasan Riza Aziz: Mahathir bidas Najib

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Najib Razak yang mengatakan pembebasan Riza Aziz berhubung isu pengubahan wang haram tidak membabitkan tawar-menawar kerana anak tirinya itu tidak didakwa di bawah kes jenayah.

Mahathir mempersoal sekiranya bukan jenayah, mengapakah Riza dibebaskan tetapi dikira ‘tidak bersalah’.

“Riza dibebaskan untuk apa sekiranya pengubahan wang haram bukanlah satu jenayah?,” soalnya dalam blog Chedet hari ini.

Riza yang merupakan anak tiri Najib sebelum ini didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahathir turut memberi analogi, seorang pencuri yang mencuri wang, ketika ditangkap dan diminta untuk memulangkan kembali sejumlah wang tersebut, akan dilepaskan walaupun tidak dibebaskan daripada pertuduhan.

Katanya, situasi berkenaan di mana pencuri tidak dibebaskan bererti dia masih bersalah seperti didakwa.

“Tidak mengapa. Yang harus dia lakukan hanyalah mengembalikan kurang daripada separuh wang yang telah dicurinya.

“Ini bermaksud dia akan menikmati lebih dari separuh wang yang dicurinya dan menjadi orang bebas,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza.

Mengulas lanjut, Mahathir bertanya semula kepada Najib, apa yang beliau mahu katakan tentang kemurahan hati itu jika ianya bukan tawar-menawar.

Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatannya itu, turut memetik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengibaratkan, “di Malaysia anda boleh mencuri sepuluh ekor ayam tetapi jika anda memulangkan seekor, maka anda bebas menikmati sembilan ekor ayam lain”.

Mahathir berkata perumpamaan itu bagus untuk ‘pencuri’ dan juga untuk peguam tertentu yang tidak disebutkannya.

“Tetapi kita harus memerhatikan poket dan peti keselamatan kita dengan teliti.

“Pelancong asing juga harus berhati-hati. Ini adalah perkara baru di Malaysia,” katanya lagi.