Malaysia Dateline

Isu pemilikan saham Azam Baki: AMANAH tuntut tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan pentingnya ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, penubuhan RCI penting kerana kekebasannya lebih terjamin berbanding siasatan biasa.

“Satu memorandum telah pun kita serahkan kepada PM tentang isu pemilikan saham yang sangat mencurigakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang telah menjadi berita nasional dan antarabangsa.

“Kami mengambil tanggungjawab ini supaya satu tindakan tegas diambil. Dan rakyat tidak boleh terima apa pun alasan. Sebagai bekas anggota pentadbiran, saya sebagai Menteri dan Datuk Mahfuz sebagai Timbalan Menteri, kami tahu prosedur kerajaan.

“Isu sepenting ini sepatutnya dibincangkan dengan serius dalam kabinet. Masa kami dahulu, banyak perkara berkaitan penjawat awam kita bincang dan ambil tindakan.

“Inikan pula melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dianggap pagar paling kukuh dalam kempen kerajaan memerangi rasuah, disyaki memiliki sejumlah saham yang sangat mencurigakan.

“Hal ini kita tidak boleh kita terima, kita harap suatu Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan dengan segera dan melantik pegawai kerajaan yang ada integriti serta wibawa untuk menyiasat kes ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Salahuddin mengetuai himpunan di perkarangan Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya mendesak Perdana Menteri merehatkan Azam Baki.

Turut hadir Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena serta Ketua Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Sany Hamzan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer.

Salahuddin juga menegaskan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang cuba menyiasat Azam Baki pada masa ini tidak mempunyai cukup kuasa untuk menyingkap keseluruhan skandal pemilikan saham tersebut.

Tanpa siasatan yang benar-benar bebas, katanya, imej negara akan bertambah buruk di mata antarabangsa dan lebih banyak pelabur luar akan meninggalkan negara ini pada masa hadapan.

“Jawatankuasa Khas Parlimen tidak mencukupi untuk membincangkan isu sebesar ini. Oleh itu, saya mewakili AMANAH, kita mengambil pendirian bahawa isu ini amat besar dan menambah buruk nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sebuah syarikat multinasional seperti Hyundai baru-baru ini telah pindah ke Indonesia, satu perkara yang memalukan negara.

“Apatah lagi apabila diburukkan dengan isu seperti ini. Ingat dulu 1MDB, SRC, juga seperti ini tetapi kita ambil tindakan tegas waktu dalam kerajaan dan mendakwa mereka semua ke mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, komitmen Perdana Menteri yang lebih serius amat diperlukan untuk memastikan Malaysia diselamatkan pada masa yang akan datang,” katanya lagi.