Malaysia Dateline

Isu pencemaran di Tasek Gelugor: Pas jangan tuding jari, minta Menteri Alam Sekitar selesaikan

Muhammad Fitri Termizi

Dewan Pemuda Pas kawasan Tasek Gelugor disarankan supaya segera bangun dari lena dan menerima hakikat bahawa Timbalan Presiden Pas merupakan Menteri Alam Sekitar dan seharusnya berusaha bagi mengatasi masalah penduduk yang sedang menghadapi masalah air buangan ladang babi ke Sungai Kreh, Tasek Gelugor.

Demikian disarankan oleh Ketua Pemuda AMANAH kawasan Tasek Gelugor, Muhammad Fitri Termizi.

Jelasnya lagi, masalah pembuangan air najis babi ini merupakan masalah lama yang telah berlaku sejak puluhan tahun yang lalu.

“Sebagai anak jati Kubang Menderong, amatlah dikesali kerana masalah ini belum berjaya diselesaikan sehingga kini walaupun ianya telah diketahui dan maklum oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Sehubungan itu Timbalan Presiden Pas yang kini merupakan Menteri Alam Sekitar yang bertanggungjawab keatas masalah yang sedang membelenggu penduduk Tasek Gelugor seharusnya tidak terus lena setelah ia turut dibangkitkan oleh Dewan Pemuda Pas kawasan.

“Adalah diharapkan agar isu ini dapat diselesaikan secara bersama oleh semua pihak yang terlibat serta cuba semaksima mungkin untuk mengelakkan diri dari bermain politik murahan dengan menyalahkan pihak yang tidak sehaluan dan yang mempunyai ideologi politik yang berbeza, ” ujarnya yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Pulau Pinang.