Malaysia Dateline

Isu pendakwah, AJK masjid: Seruan Mahiaddin tak kena pada tempatnya

Seruan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yassin agar pihak berkuasa negeri tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan ahli jawatankuasa masjid tidak kena pada tempatnya.

Jabatan dan majlis agama Islam di setiap negeri mempunyai fungsi tertentu dengan kedua-dua institusi tersebut berada di bawah bidang kuasa negeri dan Raja-raja Melayu.

Umum juga mengetahui bahawa para pendakwah perlu mendapatkan sijil tauliah sebelum berdakwah di setiap negeri di Malaysia.

Antara nama besar yang pernah didakwa kerana undang-undang ini termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ceramah di khalayak ramai seperti di masjid dan di televisyen hanya tersekat sekiranya mereka berdakwah mengenai perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam fahaman al Sunnah wal Jamaah dan norma masyarakat tempatan.

Pendakwah terkenal dan penduduk tetap, Dr Zakir Naik umpamanya tidak dibenarkan berucap di khalayak ramai kerana ia menimbulkan isu keselamatan awam.

Sudah tentu Mahiaddin arif mengenai perkara ini memandangkan beliau pernah menjadi Menteri Dalam Negeri.

Jika isu berkaitan dengan pendakwah mualaf Ridhuan Tee Abdullah atau Tee Chuan Seng ingin diangkat, pastinya Mahiaddin sendiri sedar penulisan Ridhuan yang mengapi-apikan semangat asabiyah di antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim.

Beliau terkenal dengan penggunaan ‘ultra kiasu’ terhadap masyarakat Cina.

Semangat asabiyah bukan nilai yang diajar dalam agama Islam.

Semalam, Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu menyeru agar pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah dan ahli jawatankuasa masjid di Pulau Pinang yang mempunyai fahaman politik yang berlainan.

“Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video TikTok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang tular berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.

“Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Berkaitan dengan keputusan AJK masjid yang meletakkan jawatan berkuatkuasa 1 Januari 2023 ini, mereka sebenarnya terlibat secara langsung mengumpulkan wang dana politik.

Benar, politik sebahagian daripada agama dalam konteks Islam tetapi masjid tidak boleh diperalatkan sebagai pelantar untuk politik kepartian.

Rakan Bersatu, Pas sudah pun menunggang Islam selama berdekad. Adakah Bersatu mahu menunggang Islam dan institusi masjid demi kelangsungan politik?

Baca juga Pendakwah jawab isu ‘ustaz Pas’ kena sekat kuliah di Pahang