Malaysia Dateline

Isu Pengerusi PAC: Satu lagi janji PH dicapati, kata Najib

Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini membidas tindakan kerajaan terus mengekalkan Ahli Parlimen Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.

Bekas perdana menteri itu berkata, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) Pengerusi PAC daripada parti pemerintah dan Timbalan Pengerusi daripada parti pembangkang.

Bagaimanapun kata Najib sebelum PRU14, Pakatan Harapan mengkritik perlantikan itu dengan hebat.

“Mereka kata Pengerusi PAC patut dipilih dari wakil parti pembangkang kerana ini akan menguatkan proses semak dan imbang serta ketelusan kerajaan.

“Oleh itu, PH berjanji dalam manifesto mereka bahawa Pengerusi PAC akan dipilih dari wakil parti pembangkang.

“Itu janji mereka,” ujarnya dalam kenyataan di facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC walaupun telah meninggalkan Umno pada 12 Disember tahun lepas dan menyertai Bersatu pada 15 Mac.

Bagaimanapun Dr Mahathir pada Ahad berkata Ahli Parlimen Beluran itu akan mengetuai PAC sehingga penggantinya ditemui.

Menurut Najib lagi, realiti hari ini dibawah kerajaan PH kedua-dua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC daripada parti pemerintah.

“Ini berbeza ketika di zaman BN Pengerusi PAC daripada parti pemerintah dan Timbalannya dari parti pembangkang.

“PH janji mahu memperbaiki pengurusan negara tetapi apa yang berlaku ialah mereka telah melemahkannya pulak.

“Ini bermakna satu lagi janji PH telah dicapati.

“Tapi saya rasa ‘Raykat’ sudah biasa dengan PH mungkir janji.Raykat dah lama basah,” ujarnya sinikal yang merujuk kepada janji PH dalam Buku Harapan.

Semalam semua Ahli Jawatankuasa PAC daripada BN dan Pas mengumumkan meletakkan jawatan mereka kerana membantah Perdana Menteri masih mengekalkan Kiandee.