Malaysia Dateline

Isu Pengundi Pos: Bersih 2.0 saran parti politik desak SPR 

 

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah menyarankan parti politik melakukan desakan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung ketelusan perjalanan kategori pengundi pos.

Menurutnya, penambahan kumpulan dalam kategori pengundi pos dibimbangi mempunyai kemungkinan tinggi untuk terdedah kepada cubaan manipulasi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kadang-kadang peti undi disimpan di lokap polis. Saya rasa parti politik kalau boleh buat memorandum atau jumpa SPR desak benarkan pemantau,” katanya dalam pelancaran Satukan Tenaga, Kalahkan Penipuan di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SPR telah membuka permohonan untuk warga Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan termasuk dalam kategori Pengundi Pos Dalam Negara untuk memohon undi pos mulai 19 Februari lalu.

Permohonan tersebut dibuka susulan keputusan SPR membenarkan 12 kategori penjawat awam sebagai pengundi pos dengan syarat majikan mengesahkan bahawa mereka bertugas semasa hari pengundian.

Kumpulan terbabit adalah petugas pilihan raya, polis dan tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal, anggota Jabatan Penjara Malaysia, petugas media serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut tersenarai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), petugas Jabatan Kesihatan (Hospital dan Klinik Kerajaan sahaja), Sukarelawan Polis (PVR), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataan pada 21 Februari lalu sempena kempen Satukan Tenaga, Kalahkan Penipuan berkata, usaha dilakukan SPR untuk memastikan integriti dan ketelusan pilihan raya amatlah sedikit walaupun suruhanjaya itu memberi jaminan setiap penjawat awam mempunyai akses kepada hak mengundi.

“Lebih membimbangkan adalah permohonan pengundian pos dalam negara telah dibuka sebelum tarikh sebenar pilihan raya dimaklumkan.

“Bagaimana penjawat awam boleh membuat permohonan undi pos tanpa mengetahui bahawa mereka sememangnya bertugas pada hari mengundi?” soal badan gerakan reformasi sistem pilihan raya itu.

Menurut jawatankuasa itu, SPR tidak harus menggunakan undi pos tanpa prosedur dan proses yang telus untuk memastikan kebebasan hak mengundi serta kerahsiaan undi dan ketelusan proses pilihan raya terjamin.

“Bajet 2018 memperuntukkan sebanyak RM370 juta kepada SPR untuk memastikan kelancaran proses pilihan raya.
“Selain dari undi pos, SPR kini mempunyai peruntukan untuk membuka pusat mengundi sementara di bawah piawaian proses mengundi seperti biasa,” dipetik daripada kenyataan itu lagi.