Isu penyerahan gerai penempatan mangsa tsunami Kuala Muda, Penaga selesai

Datuk Seri dr Wan Azizah bersama dengan TKM 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin (kiri) semasa majlis penyerahan 18 unit gerai penempatan mangsa tsunami di Kuala Muda, Penaga semalam.

Penyerahan 18 unit gerai di penempatan mangsa tsunami, Kuala Muda, Penaga, kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) mampu membantu mangsa-mangsa tersebut untuk meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika berucap pada program majlis penyerahan unit gerai tersebut semalam.

Jelas beliau lagi, sebelum ini gerai-gerai tersebut tidak dapat diserahkan kerana terdapat beberapa masalah yang melibatkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang diterajui oleh BN sebelum ini.

Namun begitu ujarnya, setelah kerajaan negeri dan kerajaan pusat ditadbir oleh kerajaan yang sama kini, maka penyerahan gerai yang tidak dapat dilaksanakan sebelum ini telah berjaya berjalan dengan lancar.

“Unit gerai-gerai tersebut telah diputuskan bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat agar ia diserahkan kepada MARA.

“Dengan selesainya masalah ini serta penyerahan premis niaga tersebut maka ianya dapat memacu ekonomi setempat mangsa-mangsa tersebut.

“Kerajaan negeri dan kerajaan pusat tetap memberi perhatian bagi memastikan taraf hidup rakyat dan ekonomi mereka dapat ditingkatkan melalui pelbagai kaedah yang direncanakan,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, Exco Kerajaan Negeri, Dr Afif Bahardin serta Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

COMMENTS

Wordpress (0)