Malaysia Dateline

Isu Perak: Umno perlu berunding dengan PH secara ‘en-bloc’, kata penganalisis

Umno perlu berunding dengan komponen Pakatan Harapan (PH) secara ‘en-bloc’ mahupun bersama dengan parti-parti komponen PH bagi mencukupkan sokongan membentuk kerajaan baharu di Perak, kata ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Beliau berkata, berdasarkan bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak, Umno adalah parti popular untuk mengetuai kerajaan.

Namun katanya, Umno masih perlu bergabung dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan kerana parti tersebut tidak mempunyai sokongan mencukupi secara sendirian.

“Isunya, dengan siapa Umno akan bergabung? Dengan Pas adalah mustahil sama sekali.

“Pas secara rasmi telah mengisytiharkan tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu Perak, perkataan tidak itu di-‘bold’ dan dihuruf besarkan untuk menegaskan bahawa Pas sebuah parti yang berprinsip.

“Bolehkah Umno bekerjasama dengan Bersatu? Boleh, tapi agak rumit dan sukar untuk harmoni,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal besar dalam memperoleh sokongan sebagai Menteri Besar Perak melalui usul undi percaya yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pengkala Bharu, Abdul Manaf Hashim (Umno).

Hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Ahmad Faizal, sebaliknya 48 yang lain membantah dengan satu undi rosak.

DUN Perak terdiri daripada 24 ADUN Umno, empat PPBM, dan tiga Pas. Manakala pembangkang pula terdiri dari 16 DAP, lima AMANAH, dan tiga PKR.

Menerusi respon segera Pas, parti itu menegaskan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan di Perak dan menganggap mereka yang mengundi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal adalah pengkhianat dan penderhaka kepada negara.

Sementara itu menurut Yusri, Umno tidak boleh bekerjasama dengan wakil rakyat bebas kerana mereka juga tidak mampu memberi sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Lebih-lebih lagi katanya, wakil rakyat bebas di Perak bukan lah bebas dalam erti kata sebenar, tetapi mereka adalah wakil rakyat yang melompat.

“Justeru, untuk membentuk kerajaan yang lestari, Umno tidak boleh berharap kepada wakil rakyat bebas sama ada daripada kumpulan dewasa melompat, pemuda menangis atau sebagainya.

“Jika Umno lambat bertindak, PH juga sudah pasti sedang menyusun strategi untuk mengetuai kembali kerajaan. PH juga mempunyai peluang. Politik adalah politik, tiada apa yang mustahil,” katanya lagi.