Malaysia Dateline

Anwar Mahathir PH

Isu peralihan jawatan PM dibincang dalam Majlis Presiden PH

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersetuju jika isu peralihan jawatan Perdana Menteri dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kalau nak bincang, boleh bincang dalam Majlis Presiden,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang peralihan jawatan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju berbuat demikian kerana dalam Majlis Presiden PH itulah cadangan untuk melantik pemimpin PH dibuat dahulu.

“…dan juga kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cadangan saya jadi pengerusi, dan bakal perdana menteri,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum berangkat ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari.

Dr Mahathir, berada di Azerbaijan untuk Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, yang berakhir hari ini.

Kelmarin, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar secara terperinci harus dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin PH.

Muhyiddin berkata, memang soal peralihan kuasa disebut ketika perjanjian awal antara empat pemimpin melibatkan beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (ketika itu Presiden PKR), Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

Perjanjian yang dimaksudkan Muhyiddin itu merujuk pada 7 Januari 2018 iaitu lima bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dalam perjanjian bertulisa itu dinyatakan bahawa Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri sementara selama dua tahun manakala Wan Azizah akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mengikut konsensus PH itu lagi, selepas PRU-14 Anwar akan memohon pengampunan diraja dan menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) seterusnya akan menjadi Perdana Menteri selepas selesai tempoh Dr Mahathir.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 22 Oktober lalu mengambil pendirian menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal PRU-14.

Katanya, rakyat menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk mentadbir kerajaan bagi tempoh lima tahun pada PRU-14.

Malah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu juga menyifatkan pihak yang mahu mengubah pentadbiran lebih awal dari itu sama ada satu atau dua tahun sebagai kerajaan ‘pintu belakang’.

Pendirian Azmin untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dilihat konsisten seperti reaksinya pada 18 Ogos lalu terhadap desakan Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mengesyorkan Dr Mahathir agar berundur.

Bidas Azmin, barisan kepimpinan PKR sudah menyatakan pendirian teguh dan sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk meneruskan kepimpinan sebagai Perdana Menteri.

Ujarnya, soal Dr Mahathir sebagai teraju negara itu sudah ditentukan oleh rakyat dalam PRU-14.

Sikap Azmin itu sekali gus bercanggah dengan perjanjian PH sehingga dilihat mengundang reaksi pemimpin komponen PH.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad menegaskan perbincangan mengenai peralihan dan kedudukan Perdana Menteri oleh mana-mana pihak atau badan selain Majlis Presiden PH adalah sia-sia dan tidak bermakna.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, seperti mana majlis menentukan Perdana Menteri ketujuh, begitu juga majlis yang sama akan menentukan Perdana Menteri kelapan dan masa serta kaedah ia akan dilaksanakan.

“AMANAH juga ingin menegaskan bahawa mandat diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu untuk PH mentadbir negara ini secara bersama antara PKR, Bersatu, DAP dan AMANAH.

“Oleh itu, sebarang cadangan untuk menubuhkan kerajaan tanpa AMANAH dan DAP atau tanpa Bersatu adalah pelanggaran terhadap mandat itu dan tidak wajar dilayan dan diraikan,” tegas Khalid lagi.