Malaysia Dateline

Isu peralihan kuasa: Keputusan tetap ditangan kepimpinan tertinggi PH, kata Mohamad

Sesiapa sahaja boleh membangkitkan isu berkenaan pelan peralihan kuasa Perdana Menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas gesaan berterusan beberapa pihak agar peralihan kuasa dilakukan dengan kadar segera.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berkata, ia terpulang kepada mereka yang mahu membangkitkan perkara berkenaan.

Ini kerana katanya, keputusan terhadap isu yang terus dibangkitkan sejak 18 bulan lalu itu, pada akhirnya terletak pada mesyuarat kepimpinan tertinggi (Mjalis Presiden ) Pakatan Harapan untuk membuat keputusan.

“(Berkenaan) tarikh, tak ada tarikh penentu. PH memberi mandat kepada Dr Mahathir sebagai PM dan Mesyuarat akan memutuskan segalanya.

“Siapa sahaja boleh bangkitkan (isu itu) tapi yang akan buat keputusan nanti mesyuarat tertinggi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyampaian Sumbangan Deepavali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja, hari ini.

Difahamkan, isu tersebut terus ditimbulkan selepas wujudnya dakwaan wujudnya kempen untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan AMANAH berikutan ketiadaan tarikh spesifik untuk Dr Mahathir melepaskan jawatannya kepada Anwar.

Laporan beberapa portal berita turut mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai antara individu yang berusaha mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Azmin yang mengulas dakwaan tersebut di lobi Parlimen hari ini berkata, pihak yang mahu berkuasa dengan mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal dari lima tahun, sebagai cubaan menubuhkan kerajaan menggunakan pintu belakang.

Justeru katanya, Dr Mahathir sepatutnya dibiarkan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat yang diberikan oleh rakyat.