Malaysia Dateline

Isu Perancis: Dr Mahathir dakwa kenyataannya diambil di luar konteks

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kenyataannya telah diambil di luar konteks berhubung ulasannya yang menyebut orang Islam berhak marah dan membunuh orang Perancis bagi membalas pembunuhan mereka pada masa lampau.

Kata Dr Mahathir dalam catatannya semalam, sejarah membuktikan bahawa orang Perancis pernah membunuh jutaan manusia, yang ramai mangsanya terdiri dari orang Islam.

Bagaimanapun ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beberapa laporan yang disiarkan tidak mengambil ayat penuh beliau yang juga menyebut ‘tetapi orang Islam tidak pernah mengamalkan peraturan sedemikian’.

Menurutnya, kenyataannya yang diambil secara tidak menyeluruh menyebabkan beliau seolah-olah dilihat menggalakkan pembunuhan di Perancis.

“Saya sememangnya jijik dengan cubaan untuk memberi gambaran yang salah dan mengambil luar konteks apa yang saya tulis di blog saya semalam.

“Mereka perlu membaca catatan tersebut secara keseluruhan terutama kalimat berikutnya yang berbunyi: ‘Tetapi pada umumnya masyarakat Islam tidak menerapkan undang-undang eye for a eye’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Mahathir lagi, disebabkan kenyataannya yang diambil di luar konteks, laporan telah dibuat terhadapnya sehingga dituduh mempromosikan keganasan

Katanya, Facebook dan Twitter juga telah meminta pentadbir akaun laman sosial beliau untuk membuang catatan tersebut walaupun penjelasan telah dibuat.

“Tidak ada yang dapat saya lakukan dengan keputusan FB dan Twitter agar memadam catatan saya.

“Pada fikiran saya, kerana mereka adalah penyedia kebebasan bersuara, sekurang-kurangnya mereka mesti membenarkan saya menjelaskan dan mempertahankan kedudukan saya.

“Tetapi itulah kebebasan bersuara bagi mereka. Di satu pihak, mereka membela mereka yang memilih untuk menampilkan karikatur yang menyinggung perasaan Nabi Muhammad S.A.W. dan mengharapkan semua umat Islam menelannya atas nama kebebasan bersuara.

“Sebaliknya mereka sengaja menghapus bukti bahawa Muslim tidak pernah membalas dendam atas ketidakadilan terhadap mereka pada masa lalu,” katanya lagi