Isu Perdana Menteri – Bahagian Pertama

Oleh ARIF ATAN

1. Ada juga yang tanya macam-macam soalan mengenai isu jawatan PM yang sedang hangat sekarang ini.

2. Walau banyak soalan, saya lihat kesemua soalan itu boleh disimpulkan terbahagi kepada DUA soalan pokok .

Soalan Pertama – Adakah Yang di-Pertuan Agong boleh memecat PM yang enggan letak jawatan selepas PM itu telah hilang sokongan majoriti dan enggan meletak jawatan ?

Jawapan:

a. Isu ini berkisar kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan (PP) iaitu Artikel 43 (4) PP.

b. Berdasarkan Artikel tersebut, seorang PM yang telah kehilangan sokongan majoriti hanya mempunyai dua pilihan sahaja iaitu memohon kepada YDPA untuk dibubar Dewan dan jika YDPA tidak perkenan, dia hendaklah meletak jawatan (shall tender his resignation) .

c. Bagi orang undang-undang, perkataan “shall” itu – berbeza dengan perkataan “may” – adalah lazimnya bersifat WAJIB atau MANDATORI. Maka, mudahnya, jika YDPA tidak mahu perkenan untuk dibubar dewan, PM itu WAJIB meletak jawatan.

d. Isu yang ditanya macam mana jika dia tidak mahu meletak jawatan? Bolehkah YDPA memecat beliau ?

e. Jika kita lihat PP, khususnya Artikel 43 (4), PP nampaknya tidak memberi jawapan kepada isu itu. Maknanya, tidak disebut YDPA boleh memecat PM yang sebegitu.

Ya, isu ini pernah berbangkit dalam mahkamah dalam satu kes dan saya masih ingat seorang Peguam DiRaja England (QC) berhujah jika ada kelompangan, maka kelompangan itu mesti diisi iaitu jika PM enggan letak jawatan YDPA mesti boleh MEMECAT beliau. Hujah QC tersebut, jika tidak, “the system is not workable!”

Andaian teori YDPA boleh pecat itu adalah pihak yang melantik biasanya diberi juga kuasa memecat.

f. Selain itu, dalam berurusan dengan Perlembagaan, ia tidak boleh disamakan dengan cara kita berurus dengan undang-undang biasa. Perlembagaan itu sering dikatakan “sui juris” (stands on its own).

Dalam undang-undang perlembagaan, ada satu teori yang dipanggil “Constitutional Convention” yang mungkin kita boleh terjemah sebagai “amalan tradisi perlembagaan. Ia juga dikenali sebagai “non- legislative practices”. Mungkin, dalam sains politik, ia menyerupai etika politik atau “political ethics”.

Mudahnya, jika ada kelompangan dalam perlembagaan, ia perlu diisi oleh “convention”.

g. Adakah kita sedar bahawa misalnya jawatan Timbalan Perdana Menteri atau menteri kanan itu sebenarnya tidak wujud dalam PP. Ia adalah semata-mata amalan “convention”. Adakah kita ingin katakan pelantikan jawatan jawatan tersebut adalah bercanggah dengan PP ?

Oleh itu, walaupun tidak ada peruntukan khusus dalam PP yang memberi kuasa kepada YDPA untuk memecat PM, pada hemat saya YDPA masih boleh memecat PM yang tak mahu meletak jawatan.

Mengapa?

Meminjam kata kata QC di atas “otherwise, the system is not workable!”

Lagipun itu juga adalah amalan “convention” Perlembagaan kerana adalah tidak wajar untuk membiarkan PM yang sudah hilang majoriti untuk terus dibenarkan memegang jawatan yang pasti akan mengundang pelbagai risiko yang tidak perlu kepada negara.

Insya-Allah, bersambung…