Malaysia Dateline

Isu pertukaran agama 3 anak Puan Loh Siew Hong – pandangan saya

Pada awalnya, saya tidak begitu berminat untuk mengulas isu ini. Tetapi,apabila saya mula membaca lebih lanjut berkenaan isu ini, tiba-tiba saya rasa terpanggil untuk cuba mengulasnya.

Sebelum saya mula mengulas, saya harus terlebih dahulu memasukkan (enter) caveat..segala info yang saya perolehi sebagai asas kepada ulasan ini hanya diperolehi dari media yang saya anggap ianya adalah benar.

Izinkan saya mulakan dulu pembicaraan saya dengan berkongsi fakta kes tersebut secara ringkas.

a. Seorang ibu berbangsa Cina tetapi beragama Hindu – Puan Loh Siew Hong (“Puan Loh”) – kini berstatus ibu tunggal. Mantan suaminya-berbangsa India – dilaporkan kini sedang berada di dalam penjara, khabarnya di Penjara Machang, Kelantan.

b. Dilaporkan tiga orang anak Puan Loh – dua anak kembar perempuan (14 tahun) dan seorang anak lelaki (10 tahun) kini sedang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis sementara menunggu pendengaran kes habeas corpus yang difailkan oleh Puan Loh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

c. Khabarnya, ketiga-tiga anak Puan Loh tersebut telah diambill darinya pada tahun 2019 ketika Puan Loh sedang berada di hospital kerana mengalami kecederaan -didakwa atau dikatakan kecederan itu dilakukan oleh mantan suami beliau.

d. Pada sekitar bulan Julai 2019, Puan Loh mendapat perintah hak penjagaan interim (sementara) anak-anaknya itu sementara menunggu isu penceraian dengan mantan suaminya itu dimuktamadkan.

Disebabkan pandemik Covid-19, kes penceraian mereka di mahkamah telah tertunda.

e. Pada bulan Mac 2021, Puan Loh akhirnya berjaya mendapat perintah penjagaan penuh (a full custody) anak-anak beliau dari mahkamah.

f. Pada sekitar 10 Januari 2022, Puan Loh mendapat maklumat bahawa anak-anak perempuannya berada di sebuah rumah perlindungan di Pulau Pinang.

Anak lelaki Puan Loh pula dilaporkan telah menghubungi Puan Loh melalui email kawannya dengan memaklumkan dia sedang belajar di sebuah pusat tahfiz juga di Pulau Pinang. Anaknya dilaporkan bertanya bila ibunya boleh menziarahi dia.

g. Dilaporkan Puan Loh telah membuat 9 laporan polis pada masa itu. Dilaporkan juga Puan Loh diminta untuk pergi ke madrasah di Perlis bagi menziarahi anak – anaknya.

Mengesyaki anak – anaknya mungkin telah diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa agama di Utara, Puan Loh telah membuat satu lagi laporan polis di Kepala Batas, Pulau Pinang.

h. Pada 16/2/2022, Mufti Perlis telah dilaporkan mengakui melalui sebuah video yang diposkan di facebook dia bahawa ketiga-tiga anak Puan Loh itu telah diIslamkan oleh bapa mereka secara unilateral pada sekitar bulan Julai 2020 sebelum ayah mereka dilaporkan dipenjarakan atas pertuduhan kes dadah.

Mufti Perlis juga dilaporkan berkata Jabatan Agama Islam Perlis tidak bertanyakan di mana ibu mereka dan pemelukkan Islam itu (the conversion) tidak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.

Mufti Perlis juga dilaporkan berkata ketiga-tiga anak Puan Loh tidak mahu kembali kepada ibu mereka – Puan Loh.

Akhirnya, Mufti Perlis juga dilaporkan berkata pengislaman ketiga-tiga kanak-kanak tersebut adalah sah (legal).

Lebih kurang begitulah fakta ringkas kes tersebut berdasarkan laporan media.

Seperti biasa, ada dua pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Mufti Perlis itu.

Bagi pihak yang menyokong kenyataan Mufti Perlis, antaranya, mereka berhujah bahawa kes ini melibatkan pertukaran agama ayah kanak-kanak tersebut – Nagahswaran Muniandi- kepada agama Islam dan dia juga mengizinkan anak-anaknya memeluk agama Islam secara sukarela.

Maka, menurut hujah ini, pilihan kanak-kanak itu perlu dihormati dan dipertahankan.

Bagi pihak yang tidak bersetuju dengan pendirian Mufti Perlis pula berhujah, antaranya, kes ini melibatkan kes “penculikan” dan pertukaran agama kanak-kanak itu dilakukan secara paksaan, maka pengislaman mereka adalah tidak sah.

Mereka juga berhujah bahawa pertukaran agama mana-mana anak di bawah umur secara unilateral adalah tidak sah kerana melanggar keputusan Mahkamah Persekutuan yang diputuskan sebegitu dalam kes popular iaitu kes M. Indira Ghandi.

Pada hemat saya, jika melihat dari sudut perundangan negara yang ada sekarang, dengan penuh hormat, saya berhujah kenyataan Mufti Perlis agak sukar dipertahankan kerana dilihat agak rapuh.

Bagi saya, dengan penuh hormat, sokongan kepada pendirian Mufti Perlis itu kelihatannya lebih didorong oleh faktor sentimen berbanding hujah yang berasaskan fakta dan perundangan.

Mari kita lihat faktanya. Fakta kes yang tidak disangkal (unrebutted facts) adalah ketiga-tiga kanak-kanak tersebut masih di bawah umur (di bawah 18 tahun).

Fakta yang tidak disangkal juga adalah tindakan pertukaran agama kanak-kanak tersebut telah dilakulan secara unilateral. Ibu mereka tidak pernah dilibatkan.

Yang lebih menarik lagi, ibu mereka pula telah diberi hak penjagaan penuh ke atas ketiga-tiga kanak-kanak tersebut oleh mahkamah. Ini juga fakta yang tidak disangkal.

Ulasan saya bertolak dari premis ini. Kes seperti dalam kes ini bukanlah kes kali pertama berlaku sehingga kita mungkin teraba-raba mencari panduan.

Sudah ada duluan atau precedent. Maka, dari perspektif undang-undang, apabila Mahkamah Persekutuan telah pun putuskan bahawa pertukaran agama secara unilateral @ ex parte @ sebelah pihak anak di bawah umur adalah tidak sah, maka, dari segi undang-undang, para peguam kata “the law on this issue is trite” @ kedudukan undang-undang dalam isu seperti ini telah kejap!”

Sebagai imbas kembali, isu seperti ini melibatkan Perkara atau Artikel 12 (3) dan lebih spesifik Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan (“PP”).

Artikel 12 (4) PP menyebut “For the purpose of Clause (3), the religion of a person under the age of eighteen shall be decided by his parent or guardian.”.

Dalam kes “M.Indira Ghandi”, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan – dalam penghakiman setebal 100 mukasurat – bahawa perkataan “parent” di Artikel 12 (4) PP itu melibatkan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak bawah umur itu selagi mana kedua-dua mereka masih hidup.

Oleh yang demikian, dari sudut perundangan, dengan penuh hormat, saya tidak nampak bagaimana kenyataan Mufti Perlis bahawa pengislaman ketiga-ketiga kanak-kanak tersebut adalah sah dan boleh dipertahankan.

Saya tidak berhajat untuk mengulas isu kanak-kanak tersebut dikatakan telah mecapai umur “mummayyiz” kerana, bagi saya melihat kepada ayat di Artikel 12 (4) PP yang terpakai dalam kes ini, definisi bawah umur adalah tetap iaitu di bawah 18 tahun dan bukan umur mummayyiz mengikut fiqh Islam.

Oleh kerana perkahwinan Puan Loh dan mantan suaminya dilangsungkan di bawah undang-undang sivil iaitu Law Reform Act, maka sebagaimana dalam kes Indira Ghandi, mahkamah telah putuskan undang-undang sivil terpakai dalam kes sebegini.

Mengenai dakwaan bahawa kanak-kanak di bawah umur itu dikatakan telah secara sukarela memeluk Islam secara unilateral, dengan hormat, ia boleh dihujahkan ianya sekadar fakta berdasarkan versi Mufti Perlis yang mungkin tidak boleh disifatkan muktamad, dari sudut undang-undang.

Lagipun, apabila Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan agama anak bawah umur adalah 18 tahun hendaklah ditentukan oleh “parent” mereka (ibu bapa mereka kata Mahkamah Persakutuan), maka isu sukarela kanak-kanak yang di bawah 18 tahun, bagi saya, sudah tidak lagi relevan apatah lagi jika pengislaman itu hanya mendapat persetujuan salah seorang ibu bapa mereka sahaja.

Jika boleh saya beri analogi, dalam kes jenayah rogol di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan, mereka yang merogol kanak-kanak bawah umur hatta jika kanak-kanak itu dikatakan sukarela sekalipun, sukarela itu dianggap tidak relevan. Ia tetap dikira rogol.

Maaf, begitulah ulasan saya dari sudut perundangan.

والله اعلم

YB Sepang.
19/2/2022.