Isu projek NSE, Rafizi cadang Najib guna wang peribadi bayar kontraktor

Nasib malang yang menimpa sekumpulan kontraktor yang terlibat dalam satu projek yang gagal di Kerteh seharusnya diambil tanggungjawab terus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isu projek NSE, Rafizi cadang Najib guna wang peribadi bayar kontraktor

Nasib malang yang menimpa sekumpulan kontraktor yang terlibat dalam satu projek yang gagal di Kerteh seharusnya diambil tanggungjawab terus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata latar belakang penuh mengenai isu ini boleh dirujuk kepada 8 kenyataan media yang saya buat dari 15 April 2014 hingga 18 Jun 2014 untuk mendedahkan bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam pertimbangan pemberian geran “research & development” (R&D) untuk membiayai projek komersil. lawati http://rafiziramli.com/category/skandal-geran-mosti/)

Beliau terkejut Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Johari Abdul Ghani memberi alasan kononnya Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan kerana ia tidak adil kepada rakyat; kononnya isu komersil perlu diselesaikan oleh syarikat-syarikat terbabit sahaja tanpa melibatkan wang rakyat.

“Saya tidak pasti sama ada Dato’ Johari Abdul Ghani tidak ingat bahawa saya pernah membawa isu ini selama berbulan-bulan dalam tahun 2014 kerana ia melibatkan campur tangan Perdana Menteri sendiri.

“Atau Dato’ Johari Abdul Ghani memang sengaja mahu memalukan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau mengingatkan Datuk Johari Abdul Ghani bahawa Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu surat bertarikh 21 November 2013 kepada Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri MOSTI ketika itu dengan satu minit tulisan tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri meminta supaya MOSTI mempertimbangkan permohonan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek yang diusahakan oleh NSE Resources Sdn Bhd (NSE).

“Pada 21 Januari 2014, Datuk Dr Ewon Ebin mengeluarkan surat kepada NSE menyatakan kelulusan pada prinsipnya untuk memberikan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek komersil tersebut (dengan merujuk kepada surat asal dari NSE),” katanya.

Implikasi kenyataan Datuk Johari Abdul Ghani semalam katanya, memerangkap Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana ia menimbulkan kembali isu yang saya dedahkan dahulu mengenai pengurusan geran R&D yang terdedah kepada penyelewengan akibat campur tangan pihak lain.

“Tindakan Dato’ Seri Najib membiarkan kontraktor-kontraktor Bumiputra ini terkontang-kanting hingga ada yang dikejar Along adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana kontraktor-kontraktor ini memulakan kerja berdasarkan tindakan Datuk Seri Najib yang memberi isyarat bersetuju memberikan geran R&D RM100 juta itu.

“Malahan pentadbiran beliau secara rasmi mengesahkan perkara itu dan logiklah kontraktor-kontraktor ini menyempurnakan kerja-kerja yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Dalam keadaan sekarang, beliau mendesak Datuk Seri Najib bertanggungjawab kepada nasib kontraktor-kontraktor ini.

“Najib boleh membantu dengan dua cara, iaitu sama ada menggunakan gaji beliau dan simpanan beliau yang sering mendapat derma untuk melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor ini.

“Atau menghubungi penderma-penderma beliau untuk mengumpul jumlah yang diperlukan bagi melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor kerana beliau mempunyai ramai kenalan yang pemurah sehingga pernah menderma RM2.6 bilion,” katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Pandan memberi amaran untuk membongkar kembali isu ini sehinggalah pihak yang bertanggungjawab tampil untuk menerima tanggungjawab tersebut.