Malaysia Dateline

Isu PTPTN: Anwar ulangi pendirian sokong kehendak rakyat

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian beliau menyokong kehendak rakyat dalam isu melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program penyerahan bantuan Ihya Ramadan kepada 76 buah surau dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh semalam.

Jelasnya lagi, adalah diharapkan rakyat akan memberi pandangan dan buah fikiran mengenai isu PTPTN yang sedang hangat diperkatakan tatkala ini.

“Adalah diharapkan rakyat akan memberi pandangan serta sedikit kelonggaran diberikan kepada peminjam khususnya yang belum mendapat pekerjaan.

“Sedikit ruang perlu diberikan dan berharap rakyat dapat memberi pandangan yang positif.

“Pandangan ini perlu supaya keputusan yang dibuat nanti tidak dirasai menekan rakyat,” ujarnya lagi.

Menurut Anwar lagi, beliau akan tetap menyokong kehendak rakyat..

Namun begitu tegasnya lagi, beliau optimis rakyat tidak akan bersetuju dengan apa jua tindakan yang agak keras khususnya dalam kalangan mereka yang belum mendapat pekerjaan.

Sehubungan itu tambahnya, tidak ada alasan lagi untuk menekan peminjam kerana mereka belum lagi mendapat pekerjaan.

Hadir sama dalam program tersebut adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar serta Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.