Isu rasuah dan rakyat fokus utama Gagasan Sejahtera

Isu rasuah dan rakyat fokus utama Gagasan Sejahtera

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,isu rasuah dan isu rakyat menjadi fokus utama bagi blok politik ketiga Gagasan Sejahtera.

Justeru Gagasan Sejahtera akan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memberi pandangan balas berkaitan isu rasuah di negara ini.

“Gagasan Sejahtera telah mengangkat beberapa isu penting pada pandangan kami.

“Isu besar adalah rasuah. Kita mendokong kenyataan SPRM sebelum ini bahawa seluruh rakyat perlu meletakkan isu rasuah sebagai nombor satu musuh negara, sama seperti isu dadah dan sebagainya.

“Kita akan serahkan memorandum kepada SPRM dalam tempoh dua minggu lagi mengenai pandangan balas Gagasan Sejahtera untuk bantu SPRM.

“Kami (Pas dan Ikatan) akan gerakkan kekuatan seluruh keahlian yang ada supaya isu rasuah ditangani dan diserang habisan-habisan.

“Ini kerana punca besar isu berlaku dalam negara adalah rasuah yang memalukan negar adi mata dunia,” ujarnya dalam sidang media diadakan selepas mengadakan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Gagasan Sejahtera di ibupejabat Pas hari ini.

Turut hadir Presiden Ikatan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dan barisan kepimpinan Gagasan Sejahtera.

Melalui Memorandum Kebangkitan Rakyat Memerangi Barah Rasuah dan Korupsi itu menurut beliau turut mengemukakan pandangan Gagasan Sejahtera untuk memperkasakan usaha SPRM.

“Bagi kami, punca besar isu rasuah adalah kesedaran iman.

“Penguatkuasaan undang-undang walaupun SPRM menjalankan tugas cemerlang dan kita hargai usaha SPRM dan dalam bidang kuasa SPRM tiada kuasa pendakwaan hanya kuasa siasatan, maka kita ada beberapa cadangan dalam isu ini.

“Dan aspek lain ialah membina kesedaran rakyat. Kesedaran rakyat perlu digerakkan bersama dengan pihak penguatkuasa untuk pencegahan rasuah yang dianggap sebagai isu besar,” ujarnya yang mana jawatankuasa memorandum ini telah dipengerusikan oleh Tan Sri Kadir sendiri.

Tuan Ibrahim turut tidak menolak isu rasuah akan menjadi sebahagian daripada manifesto Gagasan Sejahtera dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Bagaimanapun blok ketiga itu masih lagi dalam rangka meneliti beberapa isu lain lagi selain rasuah sebagai manifesto Gagasan Sejahtera.

Tuan Ibrahim juga tidak menyatakan calon-calon yang akan diletakkan bagi mewakili Gagasan Sejahtera dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Persiapan calon, kita akan bincang melalui jawatankuasa politik bersama kerana fokus utama kita adalah pilihan raya.

“Kita lawan BN dan kita tidak bersama BN,” ujarnya apabila ditanya sama ada Pas kemungkinan akan menjadi rakan baru komponen BN dalam pilihan raya akan datang.

Beliau juga menjelaskan kini Gagasan Sejahtera turut disertai beberapa parti politik seperti Parti Cinta Malaysia (PCM) dan beberapa NGO besar serta tokoh-tokoh masyarakat yang telah menyatakan kesediaan menyertai Gagasan Sejahtera.

“Kita juga membuat tinjauan kepada parti di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) secara rasmi mengadakan kerjasama politik dalam blok ketiga yang diumumkan Pas pada Mac tahun lalu.

Pembentukan blok politik ketiga itu adalah setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan tujuan untuk menentang Umno-BN.

COMMENTS

Wordpress (0)