Isu rasuah: Kenyataan MB Johor kontradik, bernada panik

Isu rasuah: Kenyataan MB Johor kontradik, bernada panik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakatan Harapan Johor menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin sebagai kontradik sewaktu menjawab dan menjelaskan isu dakwaan rasuah ke atas beliau berkaitan hartanah di negeri itu dalam ucapan penggulungan sidang Dun Johor kelmarin.

“Khaled menyatakan bahawa YB Senai sewaktu mengajukan persoalan berkaitan skandal hartanah minggu lalu telah membuat tuduhan yang tidak berasas. Namun pada masa yang sama, Khaled mendakwa YB Senai telah ‘menggunakan Dewan untuk membocorkan rahsia rasmi Kerajaan’.

“Anehnya, sekiranya Khaled mendapati tuduhan tersebut tidak berasas, apa perlunya beliau mengeluarkan kenyataan kontradik yang mengaitkan persoalan YB Senai dengan ‘rahsia rasmi Kerajaan’?” kata PH Johor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kenyataan tersebut dibuat bersama oleh lima pimpinan PH Johor iaitu, Pengerusi Pakatan Harapan Johor Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Pengerusi PPBM Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Pengerusi AMANAH Johor Aminulhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Menurut kenyataan tersebut, hal ini tidak lebih sekadar menunjukkan sikap Khaled yang sedang panik.

“Selain itu juga, Khaled yang mendakwa pentadbiran beliau ‘tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan’ sama ada kepada diri beliau atau pentadbiran beliau hanyalah retorik semata-mata.

“Hakikatnya, Exco di bawah pentadbiran beliau sendiri pada awal tahun ini, Datuk Abd Latiff Bandi telah didakwa atas tuduhan rasuah berhubung isu hartanah Johor,” kata kenyataan itu lagi.

Pakatan Harapan Johor bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin atas jawapan yang beliau berikan sewaktu ucapan penggulungan sidang Dun itu.

9.3
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 9.0
CATEGORIES
TAGS