Isu remaja bunuh diri: Lancarkan kempen kesihatan awam segera, kata AWAN

Isu remaja bunuh diri: Lancarkan kempen kesihatan awam segera, kata AWAN

Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) mengharapkan kempen kesihatan awam dapat dilancarkan segera secara lebih meluas dan berterusan di luar dan dalam talian sebagai cara menimbulkan kesedaran kepada masyarakat dan netizen tentang ancaman serta risiko penyakit kemurungan.

Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia AWAN Nasional, Norwani Ahmat berkata, tindakan seorang remaja berusia 16 tahun yang nekad membunuh diri selepas mendapat ‘sokongan’ sebanyak 69 peratus di laman media sosial, Instagram seperti dilaporkan media perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

“AWAN Nasional mengikuti laporan ini dengan kebimbangan tentang sikap remaja serta netizen pada hari ini yang menganggap bahawa kemurungan dan pembulian siber sebagai satu perkara yang menghiburkan.

“Apa yang boleh kita simpulkan daripada kejadian ini adalah kurangnya perasaan belas ihsan, kasih sayang dan peduli dalam kalangan masyarakat kita terhadap kelompok yang berdepan tekanan jiwa akibat masalah peribadi dan keluarga.

“Dalam tragedi ini, pembulian siber berlaku dengan begitu jelas sekali apabila banyak netizen yang menyokong beliau ‘mati’ berbanding bertindak membantu mangsa atau melaporkan hal ini kepada pihak berkuasa,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Jelas Norwani, AWAN Nasional merayu kepada semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat supaya segera mengambil tindakan susulan untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.

Kemurungan yang berlaku bukan lagi sesuatu yang perlu dipandang remeh. Ditambah pula dengan kegilaan masyarakat hari ini terhadap platform media sosial yang dilayani tanpa sebarang pendidikan dan kawalan telah menyebabkan tragedi bunuh diri ini berlaku,” katanya.

“AWAN Nasional mengharapkan supaya satu kempen kesihatan awam dilancarkan segera secara lebih meluas dan berterusan di luar dan dalam talian sebagai cara untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat dan netizen tentang ancaman dan risiko penyakit kemurungan ini.

“Para pendidik, ibu bapa, para pendakwah dan kerajaan perlu bekerjasama dengan lebih kukuh untuk memastikan tiada lagi insan-insan yang perlukan bantuan menjadi mangsa tragis akibat kesilapan membuat keputusan,” tambah beliau.