Malaysia Dateline

Isu RFID: Kadir tegur lain kali jangan sombong, syok sendiri

Pada semalam, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan akan mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang sebelum ini ditutup susulan rungutan dari pelanggan SmartTAG dan kesesakan trafik sejak kebelakangan ini.

Keadaan itu mengundang kritikan dari bekas wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin yang mengingatkan agar selepas ini semua pertubuhan perniagaan dan perkhidmatan awam tidak sombong dan berasa diri pandai hanya semata-mata kerana ada kuasa.

Beliau juga menempelak untuk tidak ‘syok sendiri’ dalam melaksanakan perkara baru tanpa kaedah pengujian yang baik.

“Itulah, lain kali jangan sombong dan berasa diri pandai sangat. Dalam dunia di mana pengguna boleh bersuara melalui media sosial, kelemahan dan kehambaran mudah didedahkan.

“Utamakanlah kepentingan pangguna dengan menguji sesuatu kaedah baru di jalan raya. Bukan syok sendiri dalam ‘executive suite’ dan bilik lembaga saja atau bergantung semata-mata kepada ‘public relations hyp’,” katanya dalam ulasan ringkas di Facebook.

Beliau menambah, dalam kegilaan memaksimum keuntungan, menjimatkan kos dan meringkaskan kerja melalui teknologi maklumat dan “fintech”, tidak sepatutnya diabaikan kepentingan golongan masyarakat yang kurang berkemampuan dari segi teknologi maklumat.

Katanya, bukan semua orang adalah “computer savvy” atau mahu menjadi hamba teknologi digital.

Beliau turut menyarankan agar PLUS berusaha jadikan lebuh raya kelolaannya lebih bersih dan selamat.

“Minta tolong polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disiplinkan pemandu lori yang berhenti rehat sesuka hati di luar kawasan R&R.

“Ingatlah, dengan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk, pembukaan semakin banyak ‘interchange’ serta stesen minyak, Lebuh Raya Utara-Selatan sudah jadi macam jalan raya biasa. Tidak ada apa-apa lagi yang istimewa,” katanya lagi.