Isu Rohingya bakal dibincang di sidang ulama dunia

Isu Rohingya bakal dibincang di sidang ulama dunia

Ahli jawatankuasa Kesatuan Ulama Sedunia Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berhasrat menyampaikan resolusi berkaitan penindasan etnik Rohingya Myanmar pada persidangan ulama sedunia yang akan berlangsung di Turki pada Ogos depan.

Beliau berkata, seluruh kerajaan Islam harus bersatu dalam menyelesaikan masalah penindasan terhadap minoriti Islam di Myanmar dan di negara-negara lain.

“Peranan kita hari ini adalah memberi pandangan dan resolusi kepada ulama sedunia tentang apa yang patut kita lakukan berkaitan isu penindasan terhadap minoriti muslim.

“Apakah bentuk tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh seluruh gerakan dan ulama Islam bahkan seluruh kerajaan Islam supaya mereka bangkit untuk menggarap isu umat Islam Rohingya,” katanya selepas mesyuarat Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang membentuk Jaringan Badan Bertindak Untuk Keadilan dan Keamanan Asean di ibu negara semalam.

Dalam mesyuarat tersebut, wakil NGO Islam memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan kaunselor negara Aung San Suu Kyi merangkap menteri luar Myanmar yang dijangka melawat Malaysia pada Ogos depan.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pertemuan itu adalah satu permulaan antara kerajaan Myanmar dan masyarakat sivil Asean untuk berinteraksi secara produktif.

“Sebagai pemenang keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi berkedudukan paling strategik untuk melancarkan proses reformasi nasional bagi mewujudkan Myanmar yang lebih harmoni antara pengikut agama di negara tersebut,” katanya.

Menurut beliau juga, punca ketegangan di Myanmar hingga menyebabkan ratusan ribu kaum Rohingya menjadi mangsa dan pelarian di beberapa negara dan mendatangkan beban kepada negara penerima adalah akibat polisi regim Myanmar yang selama ini bersifat brutal ke atas kaum minoriti.

“Kami mahu kempen kebencian terhadap muslim dan Islam yang menjadi punca penindasan ke atas kaum minoriti segera dihentikan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Abdul Ghani yang juga timbalan penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, ulama dari Palembang juga berhasrat mengatur pertemuan ulama sedunia untuk menguruskan isu-isu masyarakat Islam di Palembang pada awal Disember depan.

“Saya cadangkan supaya Mapim tampil dengan satu pembentangan tentang isu Rohingya dan isu isu lain kalau ada persiapan dan dokumen khusus,” katanya.