Isu royalti: MB Kelantan tuntut penjelasan kerajaan Persekutuan

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan negeri Kelantan memohon kerajaan Persekutuan memberi penjelasan lanjut berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak akan membayar royalti petroleum kepada mana-mana negeri termasuk Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri memandang serius jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Tengku Zafrul dalam persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 telah memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan akan memansuhkan Program Wang Ehsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Bayaran tunai dan hasil pengeluaran bagi negeri Kelantan telah diperakui oleh kerajaan Persekutuan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai 2020 oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 25 November lalu, Zafrul berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Namun begitu katanya, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Sementara itu, Ahmad Yakob tetap berpendapat bahawa bayaran tunai adalah kaedah yang tepat berdasarkan peruntukan yang jelas dalam perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas.

“Ini juga adalah selaras dengan pendirian dan keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kerajaan negeri percaya pendirian ini adalah berlandaskan semangat federalisma dan Keluarga Malaysia demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat Negeri Kelantan,” katanya lagi.