Isu royalti minyak: Ikatan gesa PM siasat dakwaan MB Kelantan

Isu royalti minyak: Ikatan gesa PM siasat dakwaan MB Kelantan

Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad segera menyiasat dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berhubung satu laporan akhbar yang mengaitkan Kementerian Kewangan (MOF).

Dakwaan dalam laporan akhbar pada 28 Ogos lalu itu, mengatakan bahawa MOF menyekat pembayaran royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Ketua Penerangan Ikatan, Nik Marhalim Mohd Bakri, berkata jika dakwaan tersebut benar, masyarakat Kelantan sudah tentu merasa kecewa dan terkilan dengan janji Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan prinsip federalisme dalam menunaikan pembayaran royalti kepada kerajaan Kelantan.

“Kami (Ikatan) percaya bahawa janji Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tempoh hari bukanlah sandiwara, sebaliknya ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan.

“Difahamkan Kerajaan Kelantan telah pun menarik saman mereka terhadap Kerajaan Persekutuan dalam kes tuntutan saman royalti sebagai salah satu syarat penyelesaian pertikaian tersebut.

“Justeru, kami berharap rakyat Kelantan dihadiahkan berita gembira dengan pelaksanaan pembayaran royalti kepada mereka sempena menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62 pada lusa.

“Buktikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu untuk berbuat demikian, tunaikan janji rakyat sedang memerhati,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Memetik laporan akhbar tempatan, sebelum ini Kerajaan Persekutuan menjangkakan akan menyelesaikan royalti petroleum yang menjadi tuntutan kerajaan Kelantan April lalu, selepas kerajaan negeri menyelesaikan proses menarik balik saman di mahkamah.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Persekutuan membayar sebahagian daripada tuntutan tersebut, manakala selebihnya tertangguh kerana pertikaian melibatkan saman yang dikemukakan oleh kerajaan negeri ke atas kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Kelantan juga menarik balik saman terhadap Petronas dan kerajaan berhubung perkara itu.