Malaysia Dateline

Isu royalti: Selepas Petronas tidak akan buat bayaran, Kelantan cadang jumpa PM

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata, kerajaan negeri bercadang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi untuk membincangkan tuntutan royalti petroleum.

Pemimpin Pas tersebut berkata, pertemuan tersebut bagi menyelesaikan isu tuntutan royalti petroleum sekali gus mendapatkan penjelasan lanjut.

“Tarikh perjumpaan bergantung kepada Perdana Menteri. Ini berikutan kita (kerajaan negeri) berpegang kepada Perjanjian Petroleum 1975.

“Jadi, kita harap pihak Kerajaan Pusat boleh memberi ruang perbincangan untuk mempertimbangkan semula (tuntutan) royalti petroleum,” dipetik BH.

Mohd Amar berkata demikian ditemui pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 serta Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan di Hotel Perdana, hari ini.

Mohd Amar berkata, pihaknya yakin hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan mampu menyelesaikan kes tuntutan itu.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 25 November lalu berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Jelasnya, kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 27 November lalu dilapor berkata, isu royalti petroleum menjadi tiga isu utama mengenai Kelantan yang sedang diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan selain bekalan air dan pembangunan.

Mustapa memberitahu, tiga isu utama tersebut telah dibangkitkan dalam pertemuan bulan lalu antara Mohd Amar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad) bersama Ismail Sabri.