Malaysia Dateline

Isu Sajat: Mujahid sudah berhubung dengan SKMM

Inisiatif berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diambil ekoran penampilan kontroversi usahawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, langkah tersebut dilakukan kerana aksi Muhammad Sajad atau Sajat yang berpakaian wanita di Makkah adalah di luar bidang kuasanya.

“Saya mengambil inisiatif dengan berhubung dengan SKMM, minta nasihatnya. Saya cuba melihat dari segi kandungan yang dimuat naik di media sosial dia.

“Perlu difahami, bidang kuasa tindakan melibatkan media sosial dan berkaitannya, di bawah kuasa SKMM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam segmen Bicara Isu Semasa menerusi siaran langsung di Jom Channel baru-baru ini.

Sehubungan itu, tegasnya, tindakan selanjutnya adalah di pihak SKMM yang bukan di bawah bidang Jabatan Perdana Menteri.

“Keputusan akhir bukan di tangan saya. SKMM bukan di bawah bidang Jabatan Perdana Menteri tapi saya sekurang-kurangnya ambil inisiatif.

“Mereka yang mengecam saya kononnya tidak mengambil tindakan malah menganggap maksiat berlaku kerana saya kononnya sokong LGBT maka tidak ambil tindakan, ‘dia sendiri buat apa?’

“Kita buat aduan, tapi keputusan akhirnya untuk bertindak bukannya daripada saya. Akhirnya, SKMM selepas beberapa hari saya buat aduan, untuk ‘content’ dia (SKMM) kena minta izin dengan Instagram,” jelasnya.

Naib Presiden AMANAH tersebut menjelaskan tindakan Sajat yang berkelakuan tidak senonoh itu mengundang kebimbangan awam yang mesti ditangani.

“Kes Sajat berlagak dan berpakaian seperti wanita, tidak senonoh sebab beritahu dalam Insta.

“Tetapi berlaku di Makkah, tidak ada satu bidang kuasa yang boleh diimplementasi sebab berlaku di luar negara. Kita tidak boleh ambil tindakan.

“Yang ada kuasa untuk menguatkuasakan (undang-undang) hanya dibuat oleh pihak di sana. Namun, oleh kerana saya prihatin, saya mengambil tindakan apabila melihat kebimbangan orang sampai tahap isu jangkitan koronavirus pun tenggelam,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama beliau menyelar warganet yang tidak cerdik menggunakan isu kosmetik kontroversi itu dari segi politik bukannya fokus kepada isu yang diperkatakan.