Malaysia Dateline

Isu Sajat: Umat Islam perlu terima hakikat Allah tidak beri peluang pilih jantina

“Akhirnya kita kena terima ketentuan daripada Allah. Apa yang Allah sudah tentukan, yang mana Allah tidak memberi peluang kepada kita untuk memilih, kita kena terima hakikat itu.”

Demikian jawapan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim),  Nik Omar Nik Abd Aziz ketika ditanya tentang jalan penyelesaian terhadap usahawan sensasi, Nur Sajat  atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzaman yang mengundang viral di kalangan  netizin kerana penyebaran gambarnya bertelekung sewaktu mengerjakan umrah di Makkah, baru-baru ini.

Nik Omar berkata, hakikat (tidak boleh memilih jantina) itu perlu diterima sama ada seseorang itu dilahirkan menjadi lelaki atau perempuan, kecuali melibatkan kes terpencil seperti khunsa.

“Ia sama juga sebagaimana Allah tidak memberi pilihan kepada kita untuk memilih bangsa dan etnik, kita kena terima hakikat tersebut.

“Yang Allah beri pilihan kepada kita adalah, hidup di atas dunia ini mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah atau pun tidak. Itu yang kita diberi pilihan.

“Allah dengan rahmatnya memberi pilihan kepada kita untuk hidup di atas muka bumi ini mengikut acuan kita sendiri, tetapi Allah juga telah menunjukkan kepada kita jalan yang terbaik untuk kita selamat di dunia dan akhirat. Itu yang perlu ditumpukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yadim dan TV Al Hijrah bagi program Daie Muda Yadim.

Mengulas lanjut,  Nik Omar yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional berkata, jalan terbaik adalah memilih jalan yang ditentukan oleh Allah melalui penurunan kitab suci al-Quran dan melalui perutusan Nabi Muhammad saw.

“Maknanya, kita diberi pilihan untuk memilih, tetapi kalau kita ingin memilih jalan terbaik ianya terbentang luas kepada kita dengan ilmunya, pengalamannya, dengan segala penciptaan Allah menunjukkan akhirnya semua manusia ini perlu rukuk dan sujud menerima patuh kepada Allah.

“Menukar jantina adalah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah yang tidak boleh diterima oleh hukum Islam itu sendiri,” ujarnya lagi.