Isu sejadah mini, Mufti Pulau Pinang nasihat orang ramai tidak perlu ekstrem, berlebihan beri reaksi

Oleh MAISARAH AISYA

Pelbagai isu dapat dilihat bermula selepas tular stokin dijual di kedai serbaneka dengan logo Allah.

Selepas itu dilihat ramai menjadikan isu kecil sebagai sensitif hingga bau-baru ini tular mini sejadah yang dikatakan alas kaki dengan gambar kaabah.

Namun hal tersebut disangkal apabila pengeluar produk tersebut menyatakan ia adalah sejadah mini dan bukan alas kaki.

Disebabkan itu, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Nor memaklumkan isu terkait sejadah mini tidak sepatutnya timbul.

Memetik Malaysiakini, Wan Salim memaklumkan kedudukan gambar bukanlah satu masalah.

Jelasnya, walaupun Kaabah merupakan tempat suci untuk orang Islam, kedudukannya bukanlah sama seperti al-Quran atau ayat kitab berkenaan, atau hadis.

Wan Salim pada masa sama menjelaskan ayat al-Quran atau hadis, memang dihukum haram untuk diperlekehkan, dijadikan alas kaki, dipijak atau diperlakukan secara tidak wajar.

“Umat Islam tidak perlu ekstrem dan berlebihan memberi reaksi perkara begini kerana kita perlu selidik terlebih.

“Jika terbukti ia memang dibuat dengan tujuan untuk menghina bolehlah kita membantah.

“Kita tak perlu sampai memberikan reaksi berlebihan terhadap isu yang kabur dan tidak jelas,” katanya lagi.

Pada masa sama, Wan Salim menasihati orang ramai untuk menilai kesan baik dan buruk yang akan terlahir sebelum mengambil tindakan.

“Jika tindakan kita boleh menyebabkan pihak yang mengeluarkan sejadah itu mengambil tindakan sewajarnya, baguslah.

“Tapi klau kita bertindak lebih-lebihan tapi tiada tindakan yang diambil sudah tentu ia tidak menguntungkan mana-mana pihak,” tambahnya.

Baca juga: Kecoh dakwaan Sanusi kahwin satu lagi, ini jawapan tuan badan – “Mana tahu ada..”