Isu semak status kerakyatan cubaan semarak api perkauman

Isu semak status kerakyatan cubaan semarak api perkauman

Cadangan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu untuk menyemak kembali status kerakyatan bukan melayu di negara ini adalah perancangan rapi pihak-pihak tertentu untuk menyemarakkan api perkauman menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak berapa lama lagi, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, adalah terlalu mudah untuk membaca perancangan dan  strategi pihak yang tidak bertanggungjawab itu kerana senjata agama dan perkauman mampu membangkitkan sentimen dan kemarahan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Sangat malang apabila menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60 31 Ogos nanti, masih ada golongan yang bermain dengan isu kerakyatan satu-satu kaum yang dikatakan bukan berasal dari negara ini,” ujar Salahuddin mengulas cadangan Barisan Bertindak Melayu Islam (Bertindak).

Tambah Salahuddin, adalah lebih baik Bertindak berjuang bagi menegakkan integriti kepimpinan Melayu yang sedang dilanda pelbagai isu serta skandal yang mengaibkan maruah bangsa Melayu seperti amalan rasuah, moral dan salah guna kuasa.

Beliau turut menyarankan anggota Bertindak supaya membuat ujian DNA bagi membuktikan genetik Melayu mereka.

“Tulen sangatkah darah Melayu yang ada dalam tubuh mereka? Ramai di kalangan jutaan rakyat negara ini yang telah bercampur darah Cina, India, Arab, Pakistan dan lain-lain kerana kita telah hidup bersama dengan harmoni di Malaysia lama sebelum dan selepas kemerdekaan,” ujar beliau sinis.

Menurut Salahuddin, perlembagaan negara telah memperuntukkan hak-hak warganegara dan ianya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Beliau menyeru rakyat agar bersama membina masa depan negara untuk Malaysia yang lebih baik dan berhati-hati dengan nyalaan api perkauman sesetengah pihak yang bermatlamat menyelamatkan kepimpinan Melayu yang rosak moral dan korup.

Bertindak dianggotai 22 pertubuhan, termasuk Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Muafakat, Yayasan GPMS dan Pembela.

Baru-baru ini, jurucakap Bertindak Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pemberian kewarganegaraan kepada bukan Melayu ketika Malaysia mencapai kemerdekaan melanggar proses yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu perlu disemak semula.

Khairul berkata Jadual 1 Perlembagaan menetapkan taraf kerakyatan hanya akan diberikan kepada pemohon selepas mereka mengangkat sumpah taat setia.

Bagaimanapun, beliau mendakwa prosedur itu tidak dilakukan pada 1957 hingga 1970 ketika memberi taraf kerakyatan kepada 1.75 juta orang bukan Melayu.

“Oleh itu, kami meminta diberikan ruang untuk mencabar dan mempersoalkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu yang pernah diberikan. Ini adalah satu peruntukan undang-undang yang perlu dibawa ke mahkamah dan kita nak minta biar mahkamah tentukan,” kata Khairul.

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] “Oleh itu, kami meminta diberikan ruang untuk mencabar dan mempersoalkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu yang pernah diberikan. Ini adalah satu peruntukan undang-undang yang perlu dibawa ke mahkamah dan kita nak minta biar mahkamah tentukan,” kata Khairul. – malaysiadateline […]