Isu sijil UEC: PENA bertegas tidak perlu kajian, referendum

Dr Saleeh Rahamad

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong pendirian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk tidak sewenang-wenangnya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai tiket memasuki perkhidmatan awam dan universiti awam.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, tuntutan pihak yang mahu UEC diterima tidak perlu dilayan sama sekali demi memelihara sistem pendidikan negara yang dibentuk untuk perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa.

“Negara bangsa memerlukan satu nilai sepunya yang didaulatkan. Untuk makluman, taraf subjek Bahasa Melayu dalam UEC sangat rendah jika dibandingkan dengan SPM. Semua subjek lain pula diajarkan dalam bahasa Cina.

“Bayangkan sekiranya UEC diterima, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan daripada kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pensyarah Universiti Malaya (UM) berkenaan berkata, UEC dikeluarkan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan.

“Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan, dan sijil peperiksaan yang sedia ada mesti kekal sebagai syarat untuk memasuki perkhidmatan awam dan universiti awam.

“Kajian atau referendum pun tidak perlu dibuat kerana pembentukan negara sejak awal dahulu sudah pun melalui kajian yang mendalam dan akhirnya diperakukan bahawa sistem pendidikan kita mesti menggunakan bahasa Melayu,” jelasnya.

Untuk rekod, UEC menggunakan kurikulum yang kebanyakannya dari Taiwan dengan silibusnya menggunakan bahasa Mandarin.

UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UEC-JML), Vokasional (UEC-V), Menengah Tinggi atau Senior Middle (UEC-SML).

Pengiktirafan UEC untuk layak memasuki universiti awam menjadi tuntutan Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sejak 30 tahun lalu walaupun tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Negara.

Buku teks mata pelajaran Sejarah di SMPC juga pernah didedahkan hanya menyentuh sedikit sahaja topik tentang pembelajaran sejarah Malaysia yang dirangkumkan dalam tajuk Malaysia dan Negara-Negara Jiran.

Walau bagaimanapun, terdapat sebuah buku khusus menerangkan sejarah negara China secara terperinci manakala kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dalam pentadbiran dan perdagangan tidak disentuh tetapi kewujudan hubungan Melaka dengan pengaruh Dinasti Ming lebih ditonjolkan.

Mudarat lebih besar

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mahu memastikan UEC diterima menjelang akhir tahun ini, Dr Saleeh berkata, tuntutan tersebut tidak harus dilayan.

Logo PENA

Beliau juga berpendapat tidak semestinya pengiktirafan UEC itu diteruskan walaupun manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam buku Harapan ada menyebut tentang hal tersebut.

“Pengundi PH yang terdiri daripada pencinta perpaduan tanpa mengira kaum tentu tidak bersetuju isi manifesto ini dilaksanakan.

“Mereka mengundi PH hanya untuk memastikan negara ini ditadbir dengan lebih baik, bukannya ditadbir untuk kehancuran, atau dalam kata lain mereka tidak menyokong UEC diterima bagi menggantikan SPM.

“Selain itu, banyak lagi manifesto yang tidak dilaksanakan, dan oleh itu, soal UEC juga tidak wajib dilaksanakan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar ketegangan antara kaum tidak berulang lagi ekoran pengiktirafan UEC itu.

“Mari kita bina negara yang indah, harmoni dan rakyatnya bersikap patriotik serta nasionalistik.

“Nampaknya UEC bukan sahaja diperjuangkan oleh DAP, malahan MCA dan Gerakan juga membawa isu ini daripada suara Dong Zhong sebagaimana pengakuan mereka dalam pertemuan dengan GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia) tidak lama dulu sebelum PRU (Pilihan Raya Umum).

“Parti politik telah memperjudikan nasib sistem pendidikan demi undi. Apakah yang dicari mereka sebenarnya? Kuasa atau kedaulatan negara?” bidas Dr Saleeh lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS