Malaysia Dateline

Isu skandal Azam Baki memuncak, AMK lancar protes di Putrajaya pagi ini

Susulan kontroversi hebat membabitkan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak minggu lalu, satu ‘Konvoi Protes Selamatkan SPRM’ dilapor akan diadakan di Dataran Putrajaya pagi ini.

Sebuah poster konvoi tunjuk perasaan turut difahamkan telah disebarkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) di kesemua platform sosial media sejak malam tadi.

Himpunan mereka dijangka bermula 10 pagi nanti.

Menerusi hantaran Facebook Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, protes tersebut digerakkan susulan pendirian perdana menteri semalam yang dianggap sangat mendukacitakan dan seolah-olah tiada kesungguhan untuk mengatasi krisis SPRM.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada semalam berkata bahawa tiada keperluan menubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Bagi menzahirkan usaha menyelamatkan institusi SPRM, AMK akan berkonvoi ke Putrajaya esok.

“(Lokasi) Dataran Putrajaya, pada jam 10 pagi. Isnin, 10 Januari 2022,” katanya di Facebook.

Poster yang disebar di media sosial

Isu dakwaan pemilikan saham membabitkan Azam Baki semakin panas diperdebatkan.

Azam berdepan tekanan untuk meletakkan jawatan dan disiasat, bagaimanapun dipertahankan perdana menteri bahawa tiada keperluan untuk disiasat.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan orang ramai yang semakin memuncak.

Skandal SPRM terus menjadi buah mulut rakyat Malaysia dan isu berkenaan terus ‘trending’ di Twitter sejak 28 Disember tahun lalu sehingga pagi ini.