Malaysia Dateline

Isu Speaker Dewan Rakyat: DAP hantar Gobind Singh bincang dengan Azalina

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu parti itu telah menghantar Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Penggerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pertemuan tersebut, jelasnya, berhubung cadangan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu untuk mengadakan pilihan raya pecat (recall election) bagi menangani isu wakil rakyat yang melompat parti.

“DAP bersedia untuk berbincang lebih lanjut dengannya (Azalina) jika dia serius untuk mengemukakan namanya bagi menggantikan Azhar Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat,” kata Guan Eng.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan “kepatuhan” Azhar kepada badan eksekutif telah merosakkan imej dan kredibiliti Parlimen.

Azalina Othman

Sebaliknya, beliau melihat Azalina sejak beberapa bulan lalu ke hadapan dalam menganjurkan reformasi institusi Parlimen.

“Azalina mesti menyusun rancangan tentang bagaimana mengelakkan Parlimen menjadi sebagai rubber stamp untuk Perdana Menteri semata-mata dan mendaulatkan Parlimen seperti yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat mahu Parlimen menjadi institusi demokrasi utama yang menjadikan kehidupan yang lebih positif bagi rakyat Malaysia,” kata Guan Eng lagi.

Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk dilapor akan mengemukakan usul pencalonan Azalina sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu pada sidang Parlimen, 13 September ini.