Malaysia Dateline

Isu status agama: Wanita, ahli keluarga jauh lebih tahu situasi sebenar, kata menteri

Wanita warganegara Malaysia yang dilaporkan berkahwin dengan seorang pemain hoki India minggu lalu serta bersama ahli keluarganya lebih mengetahui hal sebenar berhubung status agama pasangan pengantin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat.

“Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang ada kemungkinan sahih atau tidak.

“Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan mempolitikkan isu sensitiviti agama adalah perbuatan yang tidak matang malah tidak menguntungkan agama.

Sebelum ini dilaporkan Illi Najwa Saddique, 27, berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, 28 di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab pada 16 Disember lalu.

Difahamkan, Illi Najwa bekerja di sebuah universiti swasta di negara ini dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.

Menerusi rakaman yang tular, Manpreet mengenakan sut perkahwinan punjabi lengkap berserban manakala Illi Najwa berpakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli menegaskan perkahwinan antara pasangan Muslim dengan Bukan Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Ujarnya, pasangan bukan Muslim perlu masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pasangannya yang Muslim.

“Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

“Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Adapun perkahwinan silang agama tidak benarkan dalam perundangan Malaysia,” katanya.

Dr Zulkifli menasihati agar semua umat Islam di Malaysia lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu dengan berhemah.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli menasihatkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan.

Beliau turut menyebutkan tentang Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam.

Oleh sebab itu, katanya, bukan semudahnya orang lain boleh menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.

“Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

“Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam,” katanya.

Dr Zulkifli juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita disebarkan.

“Sultan juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam.

“Ini menzahirkan keprihatinan Sultan terhadap urusan agama rakyat jelata. Marilah sama-sama kita berdoa kepada pasangan tersebut semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka taufik dan hidayah, rezeki yang baik serta zuriat yang soleh dan solehah,” ujarnya lagi.