Isu stoking Allah ada kaitan dengan kemasukan lelaki Israel? Baca kenyataan pakar pertahanan ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Penganalisis pertahanan dan geostrategis, Muhammad Fuad Mat Noor yakin lelaki Israel yang ditangkap baru-baru ini sedang menjalankan misi ejen perisikan negara itu yang dikenali sebagai Mossad.

Jelas Fuad, Mossad kini dalam usaha menghapuskan pemimpin utama Hamas serta golongan profesional asal Palestin yang berlindung atau berada di negara tertentu termasuk Malaysia.

Perkara ini selari dengan kenyataan pemimpin Israel yang sebelum ini mendedahkan rancangan Mossad untuk menghapuskan semua pemimpin Hamas yang berlindung di beberapa negara.

Kenyataan tersebut dikongsi oleh pemimpin Israel sebelum tentera Zionis memulakan serangan secara besar-besaran terhadap bumi Gaza pada Oktober tahun lalu, lapor Berita Harian.

“Sebelum ini, pemimpin Israel sendiri di dalam temu bual bersama stesen televisyen antarabangsa mendedahkan rancangan Mossad menghapuskan semua pemimpin Hamas yang dipercayai berlindung di Gaza, Lubnan, Qatar dan Malaysia. 

“Kini, saya yakin penangkapan lelaki Israel yang menggunakan kewarganegaraan Perancis ini adalah antara satu misi menjayakan agenda berkenaan. Mereka sudah lama membuat kerja perisikan dan kajian untuk mengumpul segala maklumat yang ada.

“Ini termasuk merekrut sel tertentu, sama ada dalam kalangan warga asing di negara lain yang memasuki Malaysia sebagai pelancong atau menggunakan rakyat negara ini sendiri. Berdasarkan maklumat, sel tersebut tidak mengenali di antara satu sama lain,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Menurut Fuad, perancangan Mossad ini dilakukan dengan teliti termasuk mengambil kira faktor geopolitik semasa agar keadaan dan situasi yang sedang berlaku di Malaysia dapat dipersalahkan di atas serangan dilakukan Mossad atau sel mereka.

Fuad juga tidak menolak kemungkinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mengutuk kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin turut dijadikan sasaran kumpulan perisik tersebut.

“Pada masa ini, Malaysia berhadapan dengan isu stoking kalimah Allah melibatkan sebuah syarikat kedai serbaneka, selain berlakunya masalah ketegangan kaum yang berpunca daripada isu stoking berkenaan.

“Mengambil kita faktor dan situasi semasa yang boleh saya letakkan dalam konteks tidak harmoni ini, maka ia adalah waktu sesuai untuk Mossad melakukan serangan sama ada terhadap pemimpin Hamas atau pemimpin negara kita iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang bersuara memperjuangkan nasib Palestin.

“Dari segi konteks perisikan, ancaman terhadap pemimpin Hamas atau Anwar sendiri boleh dilakukan ejen Mossad iaitu warga Israel sendiri atau sel yang terdiri daripada rakyat negara asing lain yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia atau ancaman dari rakyat Malaysia yang direkrut ejen Mossad,” ulasnya.

Percaya dengan kebolehan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan negara, Fuad berpendapat bahawa ancaman serangan ini mungkin akan dijalankan bertepatan pada musim sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.

Katanya, enam enam pucuk pistol serta 200 butir peluru yang dijumpai ketika lelaki Israel berkenaan ditahan mungkin akan digunakan oleh lima atau enam lagi individu lain yang akan mendalangi serangan tembak mati.

“Dengan sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, saya tidak menolak kemungkinan mereka (Mossad) akan mengambil kesempatan melakukan serangan ketika Perdana Menteri atau pemimpin Hamas yang berada di negara ini menunaikan solat Aidilfitri atau sewaktu mengadakan kunjungan ketika musim perayaan itu.

“Ini kerana pada masa berkenaan, Perdana Menteri akan bertemu dengan segenap lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa yang mungkin akan mengambil kesempatan. Seperti yang saya tegaskan, dalam konteks perisikan, tidak mungkin suspek warga Israel terbabit akan melakukan serangan.

“Sebaliknya, dia mungkin berperanan sebagai handler atau orang yang memberikan arahan kepada sel-sel yang sudah direkrut dan dalam hal ini berkemungkinan senjata yang dibeli akan digunakan oleh lima atau enam lagi individu lain yang mampu mendekati sasaran mereka.” Jelasnya lagi.

Baca juga: “Dia hutang RM1k tak bayar, tapi aku pula yang dihina, siap dilabel terdesak lagi”